Home Buletin Semasa KAD PEMANTAUAN DENGGI BAHASA CINA TULAR, JKWPKL&P JELASKAN BERLAKU KESILAPAN TIDAK DISENGAJAKAN

KAD PEMANTAUAN DENGGI BAHASA CINA TULAR, JKWPKL&P JELASKAN BERLAKU KESILAPAN TIDAK DISENGAJAKAN

49
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) tampil memberikan penjelasan susulan penularan isu penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak yang menjadi perhatian di media sosial.

Dalam kenyataan pada Selasa, JKWPKL&P memaklumkan siasatan mendapati insiden itu berlaku pada 18 Mei lalu dan membabitkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.

Menurut jabatan itu, penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam Bahasa Melayu, namun pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa lain sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga di kawasan berkepadatan tinggi kes denggi.

“Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, JKWPKL&P menjelaskan bahawa penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan tetap diberikan oleh pegawai perubatan dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad berkenaan.

“Sehubungan itu, pihak JKWPKL&P memaklumkan langkah penambahbaikan segera sudah diambil bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian pada masa akan datang,”jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama, jabatan itu menegaskan Bahasa Melayu kekal digunakan sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.

JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang timbul susulan insiden tersebut dan menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat serta mesra rakyat. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here