Home Buletin Semasa KPDN PERKETAT PEMANTAUAN BARANG BERSUBSIDI

KPDN PERKETAT PEMANTAUAN BARANG BERSUBSIDI

13
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mempergiat pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) menerusi pemeriksaan menyeluruh di sekitar wilayah itu bagi membanteras penyelewengan serta ketirisan barang kawalan bersubsidi.

Menurut kenyataan menerusi laman rasmi KPDN, operasi yang dijalankan pada Selasa itu membabitkan dua pasukan penguat kuasa KPDN yang ditugaskan memeriksa premis perniagaan, stesen minyak serta aktiviti berkaitan barang kawalan dan petroleum.

“Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan di bawah kementerian berkenaan.

“Operasi ini turut memberi fokus kepada aspek kawalan dan pemantauan rantaian pengedaran barang kawalan bersubsidi bagi mengekang sebarang aktiviti penyelewengan, ketirisan serta penyalahgunaan barang kawalan,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, pasukan penguat kuasa turut mengeluarkan dua Notis Pengesahan Maklumat Harga Barangan (NPMB) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] semasa pemeriksaan di peringkat peruncitan.

“Notis berkenaan dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan harga jualan serta kos yang terlibat daripada peniaga untuk tujuan semakan dan analisis pihak KPDN,”jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan bertujuan mengesan sekiranya terdapat unsur pencatutan dalam aktiviti perdagangan sebelum tindakan penguatkuasaan lanjut diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta 723.

KPDN Wilayah Persekutuan Labuan menegaskan pihaknya akan terus komited melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, beretika serta mematuhi undang-undang.

Pada masa sama, usaha itu juga dilaksanakan bagi melindungi hak dan kepentingan pengguna khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here