Home Buletin Semasa PERKHIDMATAN IVF DI HPUSM SERENDAH RM5,680, BANTU RAWATAN KESUBURAN

PERKHIDMATAN IVF DI HPUSM SERENDAH RM5,680, BANTU RAWATAN KESUBURAN

13
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil langkah strategik meningkatkan kedudukannya sebagai pusat rujukan rawatan kesuburan dengan melaksanakan penjenamaan semula Unit Rawatan Kesuburan kepada Perkhidmatan Infertiliti HPUSM.

Pengarah HPUSM, Datuk Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @Ab Ghani berkata, perkhidmatan itu kini berkembang menghampiri piawaian makmal persenyawaan in-vitro (IVF) bertaraf standard sejak mula beroperasi pada 2014.

“Proses IVF atau lebih dikenali sebagai bayi tabung uji memberi peluang dan harapan baharu kepada pasangan suami isteri yang mengalami masalah ketidaksuburan untuk memiliki cahaya mata.

“Penjenamaan semula ini adalah langkah penting bagi memastikan lebih ramai pasangan mendapat akses kepada rawatan kesuburan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Perkhidmatan Infertiliti HPUSM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penyelaras Perkhidmatan Infertiliti HPUSM, Dr. Adibah Ibrahim berkata, perkhidmatan infertiliti di hospital itu menyediakan kos yang paling rendah di wilayah Pantai Timur, dengan perbelanjaan serendah RM5,680.

“Bagaimanapun ia tidak termasuk penginapan dan ubat-ubatan, ubat itu bergantung pada permasalahan pesakit itu sendiri, semua pesakit tidak sama keperluan ubat,” katanya.

Katanya, setakat ini HPUSM merekodkan antara 200 hingga 400 pesakit sepanjang lima tahun penubuhan perkhidmatan itu.

“Mereka yang menjalani IVF ada yang berjaya hamil namun mengalami keguguran, dan setakat ini lebih 50 pesakit berjaya melahirkan anak dengan kadar kejayaan sekitar 25 peratus.

“Proses IVF ini mengambil masa kurang daripada sebulan bergantung kepada kitaran haid individu.

“Rawatan bermula dengan stimulasi ovari pada hari kedua haid yang mengambil masa kira-kira 10 hari, sebelum pengambilan telur dilakukan pada hari ke 11 atau ke 12.

“Lima hari kemudian, sekiranya pesakit tidak mempunyai sebarang kontraindikasi, proses pemindahan embrio akan dilakukan ke dalam rahim,” katanya.

Beliau berkata, wanita berusia bawah 35 tahun mempunyai peluang kehamilan yang lebih baik dalam rawatan kesuburan.

“Namun, selepas usia 35 tahun, tahap kesuburan mula menurun dan penurunan itu menjadi lebih ketara apabila mencecah usia 40 tahun ke atas.

“Bagi mereka yang berusia 35 tahun ke atas, peluang kehamilan adalah sekitar 25 peratus, manakala bagi yang lebih berusia ia menurun kepada kira-kira 15 peratus, bergantung kepada faktor ketidaksuburan lain,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here