Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Muara Sungai Gali, di sini yang cetek menjejaskan pendapatan harian kira-kira 70 nelayan kerana sukar untuk keluar ke laut apabila bot fiber mereka tersekat di muara sungai yang cetek sehingga terpaksa menolak bot itu sehingga mencecah tempoh masa satu jam.
Kerisauan itu bukan perkara biasa kerana keadaan muara cetek itu sudah dihadapi mereka sejak lebih 15 tahun lalu.
Seorang nelayan yang ditemui, Muhamad Kadir, 71, berkata keadaan muara cetek menyebabkan nelayan terpaksa mengambil masa sehingga satu jam untuk menolak bot sebelum dapat keluar ke laut.

”Masalah itu juga pernah menyebabkan beberapa kejadian bot fiber terbalik malah kira-kira 10 bot pernah terbalik sebelum ini.
“Kalau bot rosak atau enjin rosak, kos pembaikan boleh mencecah RM1,200. Pendapatan pula tidak menentu, kalau ada hasil laut boleh dapat RM500, kalau kurang kadang-kadang RM50 atau RM100 sahaja,” katanya ketika ditemui, di Kampung Kandis, di sini semalam.
Selain itu, bagi Marsani Mohamad Rani, 49, bot perlu ditolak untuk keluar namun keadaan akan menjadi lebih sukar sekiranya nelayan keluar bersendirian kerana bot sukar digerakkan tanpa bantuan rakan lain.

“Kita kena tolak bot tiap-tiap hari, kalau keluar dua orang boleh tolong-menolong, tapi kalau seorang sahaja memang susah. Kadang-kadang kena tunggu orang lain baru boleh keluar,” katanya.
Dalam pada itu, Wakil Persatuan Nelayan Sungai Gali, Solahudin Abdul Kadir berkata, masalah muara Sungai Gali yang cetek sangat menjejaskan pendapatan harian golongan nelayan kepada sepenuhnya bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan utama.

”Saya mohon agar tindakan segera dilakukan kerana kebanyakan nelayan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai dan sekiranya tidak dapat turun ke laut, mereka tiada sumber pendapatan pada hari tersebut,” katanya.
IMedikel TV






