Home Buletin Semasa HAJAT IBU TUNGGAL BELI MOTOR TINGGAL ABU, MUSNAH DALAM KEBAKARAN

HAJAT IBU TUNGGAL BELI MOTOR TINGGAL ABU, MUSNAH DALAM KEBAKARAN

47
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Hajat seorang ibu tunggal untuk membeli sebuah motosikal musnah apabila wang simpanan berjumlah lebih RM1,000 hangus dalam kebakaran yang memusnahkan rumah dua tingkat di Kampung Sri Sentosa, kira-kira jam 8.13 pagi tadi.

Mangsa, Nor Maizura M. Raduan, 33, berkata, dia berhajat untuk membayar deposit sebuah motosikal untuk memudahkan urusannya ke tempat kerja.

Bercerita lanjut, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar jeritan anak bongsunya berusia empat tahun yang melihat api marak.

“Apabila saya sedar, api sudah marak sehingga ke tingkat atas dan bumbung, saya hanya sempat menyelamatkan diri bersama tiga anak, semua barang-barang serta dokumen penting termasuk duit simpanan untuk deposit motosikal hangus terbakar.

“Saya masih terkejut dan sedih sampai tiada kata-kata,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Harun Ismail yang menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Nor Maizura yang merupakan ibu tunggal kepada lima anak bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Pulau Belanga, di sini.

Menurutnya, dia bercadang membeli motosikal bagi memudahkan urusan untuk menghantarnya ke tempat kerja memandangkan dia tidak pandai menunggang motosikal.

“Saya bergantung kepada anak ketiga berusia 15 tahun untuk bergerak ke mana-mana, saya ada kereta, tetapi sudah lama tidak hidup disebabkan masalah bateri dan kereta tersebut turut hangus terbakar,” katanya.

Rumah dua tingkat yang didiami mangsa merupakan rumah sewa dengan kadar RM300 sebulan.

Dalam kejadian itu, Nor Maizura turut mengalami kecederaan ringan akibat melecur di bahagian dahi, bahu dan rambut ketika menyelamatkan anak-anaknya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Tinggi II, Rosli Muhammad berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here