Home Sukan PERANCIS, BRAZIL UJI KEKUATAN DALAM AKSI PEMANAS BADAN PIALA DUNIA

PERANCIS, BRAZIL UJI KEKUATAN DALAM AKSI PEMANAS BADAN PIALA DUNIA

90
0

FOXBOROUGH: Dua gergasi bola sepak dunia, Perancis dan Brazil bakal menguji kekuatan masing-masing dalam aksi persahabatan berprofil tinggi sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia 2026.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, perlawanan yang berlangsung di Stadium Gillette itu menjadi medan terbaik buat kedua-dua pasukan menilai tahap sebenar mereka menjelang kejohanan yang semakin hampir.

Brazil yang kini dibimbing Carlo Ancelotti berharap mampu bangkit selepas kempen kelayakan yang tidak begitu meyakinkan apabila tewas enam kali dalam 18 perlawanan.

Jurulatih berpengalaman itu percaya pasukannya masih mempunyai potensi besar untuk memburu gelaran Piala Dunia keenam.

Bagaimanapun, ketiadaan Neymar terus menjadi perhatian apabila bintang itu masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Ia bukan isu teknikal, tetapi fizikal. Dengan bola dia hebat, tetapi dia perlu meningkatkan tahap kecergasan,” kata Ancelotti.

Sebagai pengganti, tumpuan kini terarah kepada penyerang Vinicius Junior yang dijangka menjadi tonggak utama jentera serangan Brazil.

Sementara itu, Perancis pula hadir dengan kekuatan tersendiri diketuai kapten, Kylian Mbappe yang baru pulih daripada kecederaan lutut.

“Saya sudah pulih dan berharap dapat kembali beraksi serta memberi impak kepada pasukan,” kata Mbappe.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu turut berdepan beberapa masalah kecederaan apabila pertahanan William Saliba terpaksa menarik diri dan digantikan oleh Maxence Lacroix.

Menariknya, kejohanan Piala Dunia kali ini dijangka menjadi penampilan terakhir Deschamps sebagai jurulatih Perancis selepas lebih sedekad mengemudi pasukan, dengan legenda Zinedine Zidane disebut-sebut sebagai pengganti.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2015, manakala pertemuan kompetitif terakhir menyaksikan Perancis menewaskan Brazil 1-0 di suku akhir Piala Dunia 2006.

Sekiranya kedua-dua pasukan menjuarai kumpulan masing-masing di Piala Dunia akan datang, mereka hanya berpeluang bertemu di pentas final.

Justeru, aksi ini dilihat sebagai petunjuk awal kemampuan sebenar dua kuasa besar dunia itu dalam memburu kejuaraan paling berprestij bola sepak. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here