Home Hiburan ROSYAM HARGAI DETIK RAI SYAWAL BERSAMA KELUARGA

ROSYAM HARGAI DETIK RAI SYAWAL BERSAMA KELUARGA

113
0

KUALA LUMPUR: Seiring peredaran usia, sambutan Aidilfitri bagi pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor, semakin sarat dengan makna dan emosi, terutama apabila dapat berkumpul bersama anak-anak serta cucu tersayang.

Memetik laporan Berita Harian, pada usia 59 tahun, bintang filem Gila-Gila Remaja (1986) itu mengakui, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim serta mengenang insan tersayang yang telah pergi.

Rosyam berkata, setiap kali Syawal menjelang, perasaan sayu pasti menyelubungi dirinya apabila mengenangkan mereka yang sudah tiada.

“Hari raya ini, kita harus mengenang mereka yang sudah pergi. Bukan sahaja ketika hari raya, tetapi pada waktu ini perasaan itu terasa lebih mendalam.

“Kebiasaannya, Aidilfitri menjadi waktu untuk berkumpul dengan saudara-mara. Namun, untuk bertemu mereka yang jauh, setahun sekali pun belum tentu berkesempatan,” katanya kepada BH Online.

Menurut Rosyam, kehilangan insan tersayang menjadikan setiap detik sambutan Aidilfitri lebih bermakna dan penuh refleksi diri.

“Bila kita lihat orang yang dahulunya ada, tetapi kini sudah tiada, tentu terasa sedih. Sebagai ketua keluarga, saya hanya memastikan segala persiapan dilakukan sebaiknya.

“Jika dahulu saya yang pulang ke rumah ibu atau mentua, kini saya pula menanti kehadiran anak-anak dan cucu di rumah,” katanya.

Rosyam berkata, kehadiran cucu-cucu membawa kebahagiaan tersendiri, sekali gus mengimbau kembali kenangan membesarkan anak-anak suatu ketika dahulu.

“Apabila sudah berumur dan ada masa terluang, cucu-cucu mengingatkan saya kepada perkara yang mungkin tidak sempat saya lakukan bersama anak-anak dahulu.

“Saya manjakan semua cucu. Lima anak saya semuanya perempuan, jadi cucu perempuan itu sudah biasa, tetapi atuk mereka hanya satu.

“Bila berkumpul, mereka berebut mahu bersama saya. Ketika itu, saya rasa seperti ‘king’ dan ‘hero’,” kata Rosyam yang juga datuk kepada enam cucu terdiri daripada lima perempuan dan seorang lelaki.

Mengulas persiapan Aidilfitri, Rosyam berkata, segala perancangan lazimnya diserahkan kepada isteri dan anak-anak.

“Biasanya isteri dan anak-anak yang menguruskan semuanya. Pada usia sekarang, saya hanya ikut sahaja.

“Mereka tentukan baju Melayu warna apa yang perlu dipakai dan ke mana hendak beraya,” katanya.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, urusan penyediaan duit raya juga diuruskan sepenuhnya oleh isterinya, termasuk jumlah agihan kepada ahli keluarga dan golongan memerlukan.

“Saya sendiri tidak tahu jumlah keseluruhan duit raya kerana semuanya diuruskan oleh isteri.

“Melalui perniagaan Rosyam Mart, kami juga membantu mereka yang memerlukan. Saya anggap itu sebagai sedekah. Seperti yang diajarkan, apabila kita bersedekah, harta tidak akan berkurang,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here