Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan suhu panas di beberapa negeri seperti dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan laporan MetMalaysia setakat jam 6 pagi, beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Perlis kini berada pada Tahap Amaran 1 dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Selain itu, tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang dan Baling mencatatkan Tahap Amaran 2 dengan suhu melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius dalam tempoh sama.
“Cuaca panas boleh memberi kesan serius kepada kesihatan manusia, daripada gejala ringan seperti sakit kepala, keletihan, pening dan kekejangan otot, sehingga keadaan lebih teruk termasuk dehidrasi, kekeliruan, koma dan boleh membawa maut.
“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, individu berpenyakit kronik serta mereka yang terdedah lama kepada cuaca panas atau melakukan aktiviti fizikal berlebihan lebih mudah mengalami penyakit berkaitan haba seperti strok haba,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan, sejak 1 Januari hingga 24 Mac lalu, sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara, membabitkan 11 kes kelesuan haba, satu kes kejang haba dan tiga kes strok haba.
“Daripada jumlah itu, satu kematian dilaporkan membabitkan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan tanpa disedari ibu bapa, akibat strok haba,”jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, KKM menggesa orang ramai merancang aktiviti luar dengan mengelakkan waktu puncak panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang serta memastikan pengambilan air mencukupi sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
Orang ramai juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan minuman manis, berkafein dan berkarbonat, selain memakai pakaian ringan, kerap mandi serta menghadkan aktiviti fizikal lasak ketika cuaca panas.
Selain itu, penggunaan pelindung seperti payung dan topi, serta berada di tempat berbumbung atau berhawa dingin turut digalakkan bagi mengurangkan pendedahan kepada haba.
KKM turut menegaskan agar orang ramai tidak meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan tertutup, terutama ketika enjin atau penyaman udara tidak dihidupkan.
“Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, KKM menyeru agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas untuk mematuhi langkah pencegahan yang disyorkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan status cuaca panas melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia serta panduan kesihatan di portal KKM.
IMedikel TV






