BOGOTA: Sekurang-kurangnya 34 orang maut apabila sebuah pesawat Tentera Udara Colombia yang membawa 125 penumpang terhempas sejurus berlepas di kawasan Amazon selatan negara itu pada Isnin, menurut pihak berkuasa.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, tragedi itu adalah salah satu kemalangan paling berdarah dalam sejarah terkini Tentera Udara Colombia, dengan kira-kira 24 individu masih hilang di tengah serpihan pesawat yang terbakar dan masih mengeluarkan asap ketika pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa, menurut rakaman media tempatan.
“Malangnya, maklumat terkini menunjukkan 34 kematian,” kata Datuk Bandar Puerto Leguizamo, Luis Emilio Bustos, kepada Reuters.
Gabenor Jabatan Putumayo, Jhon Gabriel Molina, berkata dalam temubual bersama Caracol Noticias bahawa 34 orang maut, 70 cedera dan 21 hilang, sambil menambah angka itu mungkin berubah.
Kemalangan berlaku ketika pesawat pengangkut Hercules C-130 buatan Lockheed Martin berlepas dari Puerto Leguizamo berhampiran sempadan dengan Peru, menurut Menteri Pertahanan, Pedro Sanchez, di platform X.
Pesawat itu terhempas hanya satu setengah kilometer daripada tempat ia berlepas, dan peluru yang dibawa di dalam pesawat meletup akibat kebakaran ketika kemalangan, kata beliau.
Tiada petunjuk mengenai ‘serangan oleh pihak ketiga’ dan pesawat itu berada dalam keadaan layak terbang dengan kru yang berkelayakan sebelum berlepas, tambah Sanchez.
Rakaman dari lokasi yang diterbitkan media tempatan BluRadio menunjukkan kepulan asap tebal dari serpihan pesawat yang dikelilingi semak tebal dan hutan.
Satu video menunjukkan pesawat menjunam ke tanah beberapa saat selepas berlepas.
Tentera Udara Colombia sebelum ini melaporkan seramai 121 orang berada di dalam pesawat iaitu 110 anggota tentera dan 11 kru. Tidak jelas kenapa wujud perbezaan angka berbanding laporan pihak berkuasa tempatan.
Nombor ekor pesawat yang terhempas pada Isnin sepadan dengan salah satu daripada tiga pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang diserahkan kepada Colombia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang tiba pada penghujung 2020.
Laporan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA) menganggarkan C-130 yang diserahkan kepada Colombia pada 2020 telah kehilangan 60 peratus daripada nilai asalnya.
AS juga menghantar pesawat C-130 lebihan ke Chile, Poland, Romania, Jordan, Tunisia dan Niger.
Akhir Februari lalu, satu lagi Hercules C-130 milik Tentera Udara Bolivia terhempas di bandar El Alto, hampir terkena kawasan perumahan.
Lebih 20 maut dalam kes itu, 30 cedera, dan wang kertas dari muatan 18 tan metrik berselerakan di sekitar lokasi nahas, mencetuskan pertembungan antara penduduk dan pasukan keselamatan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






