SUBANG: Dalam suasana Syawal yang lazimnya dipenuhi kemeriahan bersama keluarga, ratu rock negara, Ella memilih haluan berbeza apabila merancang menunaikan ibadah umrah, sekali gus menjadikan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna.
Memetik laporan Berita Harian, tidak seperti kebiasaan meraikan lebaran di Johor, Ella berkata, dia mahu mengisi sambutan kali ini dengan pendekatan lebih sederhana dan berfokus kepada ibadah.
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin berkata, dia akan menyambut Aidilfitri secara sederhana di Muar, Johor sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Tahun ini saya akan beraya secara sederhana di Muar, Johor dan kemudiannya kami akan mengerjakan umrah sebelum ke Doha, Qatar untuk mengadakan showcase,” katanya.
Menurut penyanyi berusia 59 tahun itu, pengalaman menunaikan umrah pada Syawal kali ini lebih istimewa apabila turut membawa pasukan produksi konsertnya.
“Ini adalah kali pertama kami mengerjakan umrah dalam Syawal dan pastinya saya teruja, apatah lagi kali ini saya turut membawa pasukan produksi konsert saya bersama.
“Tak pernah lagi kami pergi mengerjakan umrah bersama seluruh pasukan. Jadi, insya-Allah perancangan kali ini dipermudahkan,” katanya.
Tambah Ella, peluang mengadakan persembahan di Qatar dimanfaatkan sebaiknya untuk membawa kira-kira 12 kru produksinya menunaikan ibadah umrah.
“Alang-alang kami ada persembahan di sana, kami ambil peluang beli tiket ke Jeddah juga. Namun, kami tidak boleh lama kerana difahamkan ia akan ditutup bagi memberi laluan kepada jemaah haji.
“Insya-Allah kami akan berada sekitar dua hingga tiga hari di Makkah dan empat hari di Madinah sebelum terus ke Qatar,” katanya.
Terdahulu, Ella berkongsi bakal mengadakan persembahan solo di Qatar pada 26 April, namun ia masih bergantung kepada perkembangan semasa konflik di Asia Barat. – BH Online –
IMedikel TV






