Home Buletin Semasa REMAJA MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG

REMAJA MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG

165
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah @ IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Jelawang–Gua Musang, berhampiran Homestay Kak Dah, tengah malam, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah malam melalui kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Dabong menuju ke Jelawang, manakala sebuah lagi motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 22 tahun dari arah bertentangan.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

Mazlan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutama ketika memandu pada waktu malam dan melalui laluan gelap.

“Penunggang motosikal juga diingatkan supaya sentiasa memakai topi keledar serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang pengubahsuaian yang boleh menjejaskan keselamatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here