Home Buletin Semasa PEMANDU MYVI MAUT, KERETA BERTEMBUNG KENDERAAN JPJ DI TANAH MERAH

PEMANDU MYVI MAUT, KERETA BERTEMBUNG KENDERAAN JPJ DI TANAH MERAH

226
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang membabitkan sebuah Toyota Fortuner milik JPJ dan sebuah Perodua Myvi.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu Perodua Myvi, Mursyid Azmi, 25, mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli.

Sementara itu, pemandu kenderaan JPJ, Muhammad Zahir Zahali, 40, mengalami kecederaan di bahagian dada.

Dalam kejadian sama, dua penumpang Myvi iaitu Madihah Azmi, 19, dan Mumpaz Azmi, 17, masing-masing mengalami kecederaan pada badan, tangan serta kepala dan telah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan JPJ sedang menjalankan rondaan dari arah Bukit Bunga menuju ke Jeli.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan kenderaan JPJ secara tiba-tiba, menyebabkan perlanggaran tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here