Home Buletin Semasa OPS PENCEGAHAN JENAYAH: TIADA BARANG KAWALAN DIKESAN DALAM PEMERIKSAAN KENDERAAN – KPDN

OPS PENCEGAHAN JENAYAH: TIADA BARANG KAWALAN DIKESAN DALAM PEMERIKSAAN KENDERAAN – KPDN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTIH: Pemeriksaan ke atas kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di hadapan Masjid Yaakubiah, Kampung Tok Ajam, di sini, malam tadi mendapati tiada sebarang barang kawalan dibawa masuk atau keluar dari negeri Kelantan.

Ops Pencegahan Jenayah Tahun 2026 itu membabitkan penyertaan pegawai penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama beberapa agensi penguat kuasa lain.

“Sekatan jalan raya itu membabitkan pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan ringan, pacuan empat roda, motolori dan bas.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kenderaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan bahan petroleum dan diesel, selain tiada kes penyeludupan barang kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung gandum dikesan sepanjang operasi dijalankan,”menurut kenyataan itu hari ini. 

Antara agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Putih, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Majlis Daerah Pasir Putih (MDPP).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here