Home Buletin Semasa JIM TUMPAS SINDIKET SELUDUP MIGRAN, ‘DALANG’ TAWARAN KERJA DITAHAN DI KLANG

JIM TUMPAS SINDIKET SELUDUP MIGRAN, ‘DALANG’ TAWARAN KERJA DITAHAN DI KLANG

95
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket penyeludupan migran dalam operasi khas di Klang, Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek utama berusia lingkungan 40 tahun dipercayai berperanan sebagai ejen yang mengatur kemasukan migran diseludup.

“Dalang tersebut menguruskan pergerakan mereka dari sempadan negara ke lokasi penempatan sementara sebelum diserahkan kepada majikan tertentu untuk dieksploitasi sebagai tenaga kerja.

“Siasatan lanjut serta pengakuan lisan suspek membawa kepada serbuan di sebuah premis bengkel mengecat kenderaan di Klang yang dijadikan rumah penampungan sementara (safe house).

“Premis itu dipercayai digunakan untuk menyembunyikan migran yang baru tiba dari Pantai Timur selepas diseludup masuk melalui laluan darat tidak diwartakan (jalan tikus) di sempadan Malaysia-Thailand,”katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di premis berkenaan, tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki merupakan migran yang diseludup.

“Semakan mendapati mereka tidak mempunyai cap atau rekod kemasukan sah ke Malaysia.

“Berdasarkan pengakuan awal, mereka ditempatkan sementara di bengkel tersebut sebelum dihantar bekerja dalam sektor pembinaan seperti yang dijanjikan ejen,”katanya.

Dalam operasi sama, JIM turut menahan tiga lagi lelaki warga Bangladesh berusia antara 34 hingga 38 tahun yang dipercayai ahli sindiket dengan peranan sebagai ejen pengatur, penghantar (transporter) dan penjaga rumah penampungan.

“Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai meraih keuntungan dengan menawarkan dan “menjual” migran yang diseludup kepada beberapa majikan sekitar kawasan terbabit.

“Sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran turut disita bagi membantu siasatan.

Kesemua tujuh individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155],”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here