Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SUBANG JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 30 warga asing dalam dua operasi penguatkuasaan berasingan di Subang Jaya dan Sepang, Selangor pada Isinin lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan semalam memaklumkan dalam operasi pertama pada jam 11.06 pagi, Bahagian Penguatkuasaan JIM menyerbu sebuah gudang di Subang Jaya yang dijadikan premis perniagaan peralatan kesihatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh warga China dan dipercayai beroperasi dalam rangkaian tertutup dengan menyasarkan pelanggan daripada kewarganegaraan sama.
“Aktiviti perniagaan itu dipercayai menjana keuntungan antara RM200,000 hingga RM400,000 sebulan,”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata seramai lapan warganegara China terdiri daripada seorang lelaki dan tujuh wanita ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Dalam operasi berasingan pada jam 11.25 pagi di Bandar Sunsuria, Sepang, JIM menahan lima lelaki dan seorang wanita warganegara China kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan bekerja dan menjalankan aktiviti perniagaan di sebuah restoran makanan China.
“Turut ditahan ialah 16 warganegara Myanmar yang disyaki bekerja tanpa pas yang sah.
“Kesemua individu berusia antara 21 hingga 62 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut dan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”katanya.
IMedikel TV






