Home Buletin Semasa KELANTAN UNGGULI PENGELUARAN TEMBIKAI TERBESAR NEGARA, PERKUKUH PERANAN SEBAGAI HAB AGROMAKANAN

KELANTAN UNGGULI PENGELUARAN TEMBIKAI TERBESAR NEGARA, PERKUKUH PERANAN SEBAGAI HAB AGROMAKANAN

169
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sektor pertanian Kelantan terus mencatat lonjakan memberangsangkan apabila negeri ini muncul sebagai pengeluar tembikai terbesar negara bagi tahun 2024 dengan jumlah pengeluaran mencecah 64,827 metrik tan (MT).

Perkara itu dimaklumkan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menerusi hantaran di laman sosial rasmi beliau selepas Mesyuarat Jawatankuasa (JK) Induk Portfolio Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Bil. 1/2026 yang berlangsung di Bilik Gerakan Mabna-MBI, semalam.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan menjadi platform penting dalam menyelaras hala tuju sektor agromakanan negeri berasaskan data pengeluaran dan prestasi semasa.

“Selain tembikai yang menduduki tempat pertama Malaysia, Kelantan turut merekodkan pencapaian memberangsangkan bagi beberapa komoditi utama lain sepanjang 2024, antaranya durian dengan pengeluaran 66,800 MT, tomato (70,681 MT), cili (17,415 MT) serta timun (20,565 MT).

“Malah, negeri ini juga mendahului pengeluaran bagi komoditi seperti salak, lebah kelulut, kacang buncis, labu manis, ubi keledek dan jagung manis, sekali gus memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai antara negeri peneraju sektor pertanian negara,”katanya. 

Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan kekuatan sektor pertanian Kelantan sebagai tunjang keterjaminan makanan serta pemangkin ekonomi rakyat di negeri ini.

“Prestasi ini menjadi asas penting untuk kita terus memperkasa pengeluaran, meningkatkan nilai tambah industri asas tani dan membuka lebih banyak peluang kepada agropreneur dan generasi muda di Kelantan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here