Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) memandang serius polemik isu agama yang berterusan kebelakangan ini sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
JK Harmoni menghimpunkan para ilmuwan dan wakil agama daripada Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao dan Baha’i.
JK Harmoni dalam kenyataan media semalam memaklumkan, mereka meneyru agar semua pihak mengehntikan serta-merta sebarang polemik dan provokasi berkaitan isu agama.
“Kami sebulat suara menyeru agar semua pihak menghentikan sertamerta sebarang polemik dan provokasi berkaitan isu agama, serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Isu-isu ini tidak wajar dipermainkan atau dimanipulasi untuk apa jua kepentingan kerana ia hanya akan mengundang ketegangan dan merosakkan keharmonian yang telah sekian lama dibina di negara ini.
“Kami menegaskan pendirian yang keras dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk provokasi, pelecehan, penghinaan atau perbuatan mempermainkan agama oleh mana-mana pihak,”jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan kebencian dan prasangka, malah berpotensi menggugat perpaduan serta kestabilan negara.
Sehubungan itu, JK HARMONI mendokong sepenuhnya sebarang tindakan pihak berkuasa terutamanya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan provokasi agama, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pendekatan yang mencetuskan kebencian dan perpecahan mesti ditolak sepenuhnya. Kepelbagaian agama di Malaysia adalah kekuatan serta asas kepada kestabilan negara.
“Jangan sesekali menggadaikan keamanan yang kita kecapi hanya kerana emosi, salah faham atau perbezaan pandangan yang sepatutnya diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan undang-undang,”menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JK Harmoni menyeru semua pihak untuk kembali ke meja rundingan dan perbincangan.
“Setiap isu mempunyai jalan penyelesaian sekiranya ditangani dengan hikmah dan rasa tanggungjawab.
“Marilah kita memperkukuh nilai kebersamaan, saling memahami, menghormati, menerima dan meraikan perbezaan sebagai teras kehidupan bermasyarakat,”menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






