Home Luar Negara ANGKA KORBAN NAHAS KAPAL KARAM DI FILIPINA MENINGKAT KEPADA 62 ORANG

ANGKA KORBAN NAHAS KAPAL KARAM DI FILIPINA MENINGKAT KEPADA 62 ORANG

178
0

ISTANBUL: Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Berita Harian, angka korban nahas kapal penumpang yang karam di Filipina meningkat kepada 62 orang selepas empat lagi mayat ditemukan semasa operasi mencari yang sedang dijalankan, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Selasa.

“Dengan perkembangan terbaru ini, jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 62 orang, manakala 293 mangsa terselamat dan 17 individu lagi masih hilang,” menurut PCG dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial Facebook lewat Selasa.

Kapal M/V Trisha Kerstin 3 sedang dalam pelayaran ke Pulau Jolo di Wilayah Sulu apabila ia karam di perairan luar Pulau Baluk-Baluk di Wilayah Basilan.

Menurut pihak berkuasa, kapal berkenaan menghantar isyarat kecemasan kira-kira jam 1.50 pagi (1750 GMT) pada 25 Januari, iaitu kira-kira empat jam selepas bertolak dari Pelabuhan Zamboanga di Mindanao.

Filipina, sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada lebih 7,000 pulau, mempunyai sejarah panjang nahas feri yang meragut nyawa, dan sering dikaitkan dengan masalah lebih muatan serta penguatkuasaan peraturan keselamatan maritim yang lemah. – BERNAMA-ANADOLU, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here