Home Buletin Semasa PROGRAM SARINGAN MATA MURID LUAR BANDAR KESAN MASALAH AWAL PENGLIHATAN

PROGRAM SARINGAN MATA MURID LUAR BANDAR KESAN MASALAH AWAL PENGLIHATAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seramai 50 murid sekolah rendah di kawasan Dabong yang mengalami masalah rabun menjalani pemeriksaan kesihatan mata menerusi Program Klinik Bergerak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) pada Sabtu lalu.

Pengarah Program, Pegawai Perubatan Sarjana Perubatan (Oftalmologi), Dr Muhammad Adri Shafit berkata program itu adalah sebagai usaha mengesan masalah awal penglihatan dalam kalangan kanak-kanak.

“Program itu memberi tumpuan kepada saringan masalah rabun, juling serta tahap kesihatan mata kanak-kanak secara keseluruhan.

“Melalui pelaksanaan program secara berperingkat dan berterusan ini, pelajar-pelajar yang mengalami masalah rabun dan gangguan penglihatan lain dapat dikenal pasti pada peringkat awal, seterusnya membolehkan intervensi awal dilaksanakan bagi meningkatkan tahap penglihatan dan menyokong pencapaian pembelajaran yang lebih baik serta memanfaatkan peruntukan yang diberikan demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan modal insan negara,”katanya.

Katanya program seumpama itu dijalankan secara berperingkat membabitkan jelajah ke semua 10 daerah di seluruh negeri Kelantan.

“Program ini dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat pemeriksaan mata awal, khususnya di kawasan luar bandar.

“Program komuniti yang  berimpak tinggi bermula dengan memberi latihan kepada kepada guru-guru Pendidikan Kesihatan di sekolah-sekolah untuk mengenalpasti pelajar-pelajar yang mempunyai masalah mata rabun dan gangguan penglihatan di sekolah,”katanya.

“Guru-guru Pendidikan Kesihatan yang dilatih akan membuat rujukan bagi pelajar-pelajar yang dikenalpasti untuk menjalani konsultasi dan pemeriksaan Pakar Mata HPUSM  menerusi Program Klinik Bergerak yang akan diadakan disetiap jajahan di negeri Kelantan,”katanya.

Mengulas trend semasa, Dr Muhammad Adri berkata penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak berpotensi menyumbang kepada peningkatan kes rabun jika tidak dikawal.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti luar sekurang-kurangnya lebih dua jam sehari, termasuk beriadah seperti bermain bola sepak dan aktiviti fizikal lain.

“Ibu bapa juga disaran sentiasa memantau tahap penglihatan anak-anak serta bertanya mengenai kesukaran melihat di sekolah bagi memastikan sebarang masalah dapat dikesan dan dirujuk lebih awal,”katanya.

Katanya program itu adalah sebahagian daripada inisiatif Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani menerusi Perkhidmatan Klinik Bergerak Hospital Pakar USM, yang bertujuan memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti luar bandar dan berkeperluan khas. 

Program yang bertempat di  Sekolah Kebangsaan (SK) Mempelam Jelawang, Dabong, Kuala Krai, di sini dianjurkan oleh HPUSM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Persatuan Optometris Kelantan, One Sight Essilor Luxottica Foundation) dan Etiqa Takaful Berhad.

Program itu turut dijayakan lima Pakar Mata, staf dari HPUSM, Doktor-doktor Sarjana Perubatan (Oftalmologi) USM, Pelajar-Pelajar Perubatan USM Tahun 4 dan 5 serta rakan-rakan strategik Optometri, Hospital Pakar USM dari Persatuan Optometri Kelantan.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program KPT Prihatin Madani, Profesor Dr. Zaidi Zakaria dan Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM merangkap Pengerusi Program Intervensi Mata Rabun di Kalangan Pelajar Sekolah di Negeri Kelantan, Profesor Dr. Shatriah Ismail.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here