Home Buletin Semasa HPUSM TAWAR LATIHAN PEMBEDAHAN PANGGANTIAN SENDI BERASASKAN ROBOTIK KEPADA PELAJAR PASCASISWAZAH

HPUSM TAWAR LATIHAN PEMBEDAHAN PANGGANTIAN SENDI BERASASKAN ROBOTIK KEPADA PELAJAR PASCASISWAZAH

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bukan sahaja memberikan perkhidmatan rawatan teknologi robotik kepada pesakit, tetapi juga menawarkan latihan kepada pelajar pascasiswazah untuk mempelajari pembedahan penggantian sendi lutut berasaskan teknologi itu.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, pelaksanaan teknologi robotik adalah sebahagian daripada komponen proses pengajaran dan pembelajaran dalam program Sarjana Perubatan (Ortopedik).

“Pelajar-pelajar ini akan didedahkan kepada amalan pembedahan berketepatan tinggi, perancangan pra-pembedahan berasaskan data serta penilaian intra-operatif secara objektif.

“HPUSM adalah antara pusat latihan utama dalam penghasilan pakar ortopedik di Malaysia dengan menawarkan Program ’Fellowship Arthroplasty’ iaitu latihan lanjutan dalam pembedahan penggantian sendi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perutusan Naib Canselor 2026 Peringkat Kampus Kesihatan, di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM di sini hari ini.

Jelas beliau, HPUSM mempunyai tiga pakar ortopedik berkelayakan mengendalikan sistem robotik pembedahan sendi lutut iaitu Profesor Dr Amran Ahmed Shokri, Profesor Madya Dr Shaifulzain Ab Rahman dan Dr Muhammad Rajaei Ahmad Mohd. Zain.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 13 pesakit berusia antara 50 hingga 70 tahun menjalani pembedahan menggunakan sistem robotik dengan prosedur pertama sejak September tahun lalu.

Beliau berkata pihaknya memberi pendedahan kepada kira-kira 30 doktor perubatan melalui program latihan serta subkepakaran ortopedik.

Selain itu, katanya pendedahan teknologi itu turut menarik minat doktor negara luar termasuk dari universiti di Indonesia seperti Universiti Andalas, Universiti Padang dan Universiti Sebelas Maret.

”Mereka yang ingin mempelajari pengendalian teknologi robotik ini perlu mempunyai asas konvensional,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan robotik itu bertindak sebagai pembantu pembedahan bagi menyokong pakar bedah.

”Perkhidmatan Pembedahan Robotik ’Total Knee Replacement’ (TKR) menggunakan ’ROSA Knee System’ daripada Zimmer Biomet dan ROSA ini bertindak sebagai pembantu pembedahan yang menyokong pakar bedah melalui perancangan pra-pembedahan yang terperinci.

”Ia juga menyokong peningkatan kualiti hidup pesakit melalui pemulihan fungsi lutut yang lebih baik dan penjagaan berasaskan teknologi terkini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya prosedur menggunakan kaedah konvensional masih ada dan boleh digunakan bergantung pada pesakit tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here