Home Buletin Semasa POLIS KELANTAN TUMPAS KUMPULAN PECAH CERMIN KERETA, LIMA DITAHAN

POLIS KELANTAN TUMPAS KUMPULAN PECAH CERMIN KERETA, LIMA DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan satu kumpulan disyaki terbabit dalam kegiatan pecah cermin kereta dan mencuri susulan tangkapan lima individu dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejayaan itu susulan satu kejadian pecah cermin kereta dan curi yang dilaporkan berlaku pada Jumaat lalu kira-kira jam 7.30 pagi di tepi jalan Tanah Perkuburan Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh, membabitkan kerugian dianggarkan RM1,100.

Menurutnya, hasil risikan dan siasatan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah melancarkan serbuan dan membuat tangkapan pada Sabtu lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam di tiga lokasi berasingan.

“Serbuan dijalankan di Laluan Pemeriksaan Kompleks ICQS Rantau Panjang, sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Seligi serta sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Gaal, Pasir Puteh.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan tiga lelaki, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 32 hingga 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan disyaki hasil kegiatan jenayah antaranya 18 telefon bimbit, 11 beg duit, 41 beg tangan dan beg galas pelbagai jenama, tujuh utas barang kemas, dua jam tangan serta tiga topi.

Turut dirampas, katanya, dua plastik bag mengandungi pelbagai jenis kereta mainan Hot Wheels, satu unit kad Touch ‘n Go bersama Max Tag, dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira berserta anak kunci, sebuah lastik kayu, empat palam pencucuh serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah termasuk playar, spanar dan tukul.

“Hasil semakan rekod mendapati tiga suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan rekod jenayah dadah, manakala dua suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan air kencing ke atas dua suspek lelaki turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, permohonan reman telah dibuat dan mahkamah membenarkan semua suspek direman selama empat hari bermula Sabtu hingga Rabu bagi membantu siasatan lanjut.

Tambah beliau, hasil tangkapan itu juga membolehkan polis menyelesaikan sebanyak lapan kes pecah cermin kereta yang berlaku di Kelantan dan Terengganu dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM32,200.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan hukuman penjara serta denda atau sebat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here