Home Hiburan LAGU DUET ISMAIL IZZANI, IBU SIAP SEBELUM AIDILFITRI

LAGU DUET ISMAIL IZZANI, IBU SIAP SEBELUM AIDILFITRI

161
0

PETALING JAYA: Selepas sekian lama berdiam diri, Ismail Izzani berjaya memujuk ibunya, penyanyi veteran, Suliza Salam, untuk kembali ke studio rakaman bagi merakam lagu duet terbaharu berjudul Janji Mama.

Memetik laporan Berita Harian, Ismail atau nama penuh, Ismail Izzani Zainal Nazeri, 26, mengakui bukan mudah memujuk hati ibunya untuk terbabit dalam projek album terbaharunya. Lebih-lebih lagi, Suliza sudah bertahun-tahun meninggalkan dunia seni, selain bimbang tidak dapat memberikan persembahan terbaik.

“Sejujurnya, untuk ambil hati mama memang mengambil masa berbulan-bulan juga. Sampai terpaksa ajak dia main pickleball dahulu, belanja pedal pickleball supaya dia gembira sikit. Selepas itu, barulah dia kata, okeylah, mama nyanyi.

“Mama takut sebab sudah lama tak bernyanyi secara serius. Dia risau tak dapat beri yang terbaik. Tapi saya cakap kepada dia, apa sahaja yang datang daripada mama, itu sudah cukup terbaik untuk saya. Saya percayakan dia.

“Rakaman lagu belum bermula lagi tapi demo itu sudah ada. Insya-Allah lagu ini kami akan siapkan sebelum Aidilfitri kelak,” katanya ditemui pada majlis pelancaran Bintang Uni-Verse 2026 di sini, Rabu lalu.

Ismail yang popular dengan lagu Yang Luar Biasa berkata, kehadiran ibunya dalam album berkenaan bukan sekadar kolaborasi, sebaliknya impian peribadi yang membawa makna besar buat dirinya sebagai seorang anak.

“Lagu itu saya hasilkan sendiri secara tidak dirancang. Ia sangat bermakna buat saya. Sebenarnya, sebelum saya mendapat ilham untuk menghasilkan lagu itu, saya telefon ibu saya hampir dua jam.

“Kami masing-masing ada masalah ketika itu dan saling meluahkan perasaan. Daripada perbualan itu, saya sedar cepatnya saya membesar.

“Padahal saya rasa macam baru habis sekolah, masih menemani mama ke sana sini sebab sejak kecil. Saya memang sentiasa bersama mama, bercuti dan melakukan banyak perkara bersama,” katanya.

Tambah Ismail, perbualan dengan mama menyedarkan dirinya soal besarnya pengorbanan ibu.

“Selepas berbual melalui telefon, saya fikir untuk jadi mama saya bukan perkara mudah. Mama sudah berkorban banyak perkara.

“Ada masanya dia perlu tebalkan muka demi saya. Ada ketika dia perlu percaya sepenuhnya kepada anaknya dengan apa yang berlaku dalam hidup saya sebelum ini.

“Bagi saya, itu satu tanggungjawab yang sangat mencabar. Disebabkan itulah, kehadiran mama dalam album ini amat bermakna.

“Saya sangat bersyukur dan gembira sebab dia masih ada di sisi saya hingga ke hari ini,” ujarnya.

Suliza mula mencipta nama pada 1984 dan popular dengan lagu Untuk Sekali Lagi. Namun, beliau yang dijolok ‘artis mata kucing’ memilih menyepi daripada industri seni selepas mendirikan rumah tangga.-BH Online- 

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here