PETALING JAYA: Berbaki dua minggu sebelum konsert solo berskala mega dipentaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, Ratu Rock, Ella mengakui tidak berdepan tekanan apabila setiap aspek penganjuran acara itu sudah diteliti secara menyeluruh bersama pasukan yang mantap.
Memetik laporan Berita Harian, Ella berkata, persiapan rapi Konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella dan kerjasama erat antara semua pihak memberi keyakinan tinggi acara bersejarah itu mampu dikendalikan dengan lancar.
“Alhamdulillah, saya tidak berdepan tekanan kerana dikelilingi pasukan yang sangat baik. Segala perancangan dan idea digerakkan bersama-sama.
“Kerjasama antara pasukan Rockqueen dan pasukan Hitman Solutions juga lancar dan serasi.
“Saya tidak bosan dengan konsep yang dibawa dan gembira apabila dapat maklum balas positif daripada peminat. Disebabkan itu, kami teruskan usaha ini dan hanya memilih yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Ella dan pengumuman artis jemputan untuk Konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella di sini, kelmarin.
Ella berkata, aspek teknikal yang sering menjadi kebimbangan dalam konsert berskala besar turut diberi perhatian serius bagi memastikan pengalaman terbaik buat penonton.
“Daripada segi teknikal, semuanya sudah diuruskan oleh pasukan. Kami sangat peka terhadap sistem bunyi dan keadaan lokasi termasuk aspek akustik. Insya-Allah, segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik.
“Penggunaan skrin besar yang canggih juga akan membantu supaya penonton di bahagian jauh tetap dapat menikmati persembahan dengan jelas.
“Niat saya, sesiapa yang hadir nanti benar-benar berpuas hati dan dapat melihat apa yang mereka inginkan,” katanya
Dalam memastikan tahap kecergasan dan stamina berada pada tahap terbaik menjelang konsert, Ella mengakui perlu melakukan beberapa pengorbanan terutama daripada segi gaya hidup dan rutin harian.
“Sebelum konsert ini, perkara utama yang saya kawal dari segi pemakanan tentunya gula, jadi saya kurangkan pengambilannya. Pada masa sama, saya menjaga pemakanan, melakukan senaman dan memastikan waktu tidur mencukupi.
“Itu antara pengorbanan yang perlu dibuat. Sekarang sebelum jam 10 atau 11 malam saya sudah perlu tidur,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada persembahan, Ella turut mengambil kesempatan menjadikan konsert berkenaan sebagai platform kebajikan dengan mengadakan kutipan derma.
“Kami turut mengadakan kutipan derma untuk Gaza, yayasan kebajikan dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN). Memandangkan Ramadan bakal tiba, kami berharap dapat mengumpul dana untuk disalurkan kepada Palestin.
“Insya-Allah, saya berharap sasaran kutipan ini dapat dicapai,” katanya.
Ella berharap Konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella bukan sekadar persembahan, sebaliknya menjadi pengalaman bermakna yang meninggalkan kesan emosi kepada peminat yang hadir.
“Apa yang saya harapkan, penonton dapat menikmati persembahan sepenuhnya dan pulang dengan senyuman, rasa tenang, kasih sayang dan rindu.
“Selepas konsert ini selesai, saya juga tidak sabar untuk sekurang-kurangnya memperkenalkan produk baharu. Kami masih dalam proses ke arah itu,” katanya.
Menerusi konsert solo berkala mega itu, beberapa penyanyi antaranya Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan kumpulan The Boys (Ella & The Boys) diumum sebagai bintang jemputan yang akan bersama-sama memeriahkan acara.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, tiket Konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella sudah terjual sebanyak 90 peratus sejak 8 Disember lalu.
Persembahan khas yang membawa tema ‘Peace, Love & Rindu’ sebagai simbolik berhibur sambil beramal itu menawarkan harga tiket serendah RM39.-BH Online-
IMedikel TV






