Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
DABONG: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an pengsan ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Stong berhampiran Kem Baha, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dabong, PBT II Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, maklumat awal daripada pemanggil memaklumkan mangsa lelaki dewasa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di kawasan pendakian berkenaan.
“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit untuk tiba di lokasi mangsa dengan jarak pendakian sejauh kira-kira 1.45 kilometer.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati masih tidak sedarkan diri namun berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV
Beliau berkata, mangsa dipercayai pengsan secara tiba-tiba ketika mendaki bersama sekumpulan pendaki dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan.
Operasi menyelamat membabitkan 10 anggota bomba BBP Dabong dengan bantuan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kira-kira 10 malim gunung.
“Mangsa akan dibawa turun menggunakan pengusung (stretcher) dan operasi ditumpukan untuk membawa mangsa keluar sebelum waktu Maghrib,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di kaki gunung, mangsa akan dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan lanjut.
IMedikel TV






