JAKARTA: Serpihan besar dipercayai daripada pesawat ATR 42-500 yang hilang, ditemui di Bukit Bulusaraung dalam Daerah Maros, Sulawesi Selatan, pagi tadi berhampiran kawasan pesawat peronda itu dilaporkan terputus hubungan.
Memetik laporan Bernama menerusi Berita Harian, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Makassar, Andi Sultan berkata pasukan darat mengesan serpihan yang disyaki sebagai bahagian badan dan ekor pesawat pada sekitar 7.49 pagi waktu tempatan.
“Serpihan tersebut ditemukan di lereng, di sebelah selatan, di bahagian bawah lereng bukit,” katanya dalam video yang dikongsi kepada media hari ini.
Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia mengesahkan bahawa pesawat yang hilang itu, dikendalikan oleh Indonesia Air Transport (IAT) dan didaftarkan sebagai PK-THT adalah pesawat perondanya.
Pesawat yang membawa tujuh kru dan tiga penumpang itu dilaporkan terputus hubungan sekitar tengah hari semalam di ruang udara Daerah Maros semasa dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Makassar.
Andi berkata berikutan penemuan itu, satu pasukan telah dihantar ke lokasi, namun usaha menyelamat masih mencabar disebabkan rupa bumi yang curam, menimbulkan kesukaran untuk turun ke lokasi badan pesawat.
Beliau menambah, kira-kira 500 anggota kini berada dalam keadaan sedia untuk membantu dalam operasi SAR yang sedang dijalankan.
Setakat ini, nasib 10 individu di dalam pesawat itu masih belum jelas. – BERNAMA, BH Online –
IMedikel TV






