Home Hiburan ‘KENA NIKMATI HIDUP’, SAHRONIZAM TETAP SEMANGAT JALANI PENGGAMBARAN

‘KENA NIKMATI HIDUP’, SAHRONIZAM TETAP SEMANGAT JALANI PENGGAMBARAN

KUALA LUMPUR: Walaupun disahkan menghidap kanser tulang belikat tahap kedua, pelakon Sahronizam Noor berusaha melawan kesakitan sambil tetap meneruskan kerja-kerja seni seperti biasa.

Memetik laporan Harian Metro, Sahronizam, 54, berkata biarpun kadang kala rasa sakit datang, namun keadaan masih terkawal dan akan mengambil ubat tahan sakit tanpa menjejaskan urusan kerja hariannya.

“Sakit memanglah sakit. Cuma bila sakit sangat, baru saya ambil ‘pain killer’. Tapi saya perlukan persekitaran bekerja kerana tidak boleh nak terlalu fikirkan pasal ada kanser ini. Kena lupakan.

“Karier seni perlu diteruskan saja, itu apa yang doktor nasihatkan. Saya kena menikmati dan berseronok dalam hidup,” katanya suami kepada pelakon dan penyanyi Safura Ya’cob itu.

Sahronizam yang masih menjalani radioterapi untuk proses penyembuhan daripada kanser itu kini bergantung kepada rawatan untuk melihat perkembangan kesihatan akan datang.

“Setakat ini saya masih lagi buat radioterapi, semua berjumlah 33 kali. Saya ada lagi lebih kurang dalam 19 atau 20 kalilah. Kita tengok bagaimana kesannya terlebih dulu dan tidak ambil ubat-ubatan.

“Insya-Allah, kalau diizinkan kesembuhan, saya akan sembuh,” katanya.

Sahronizam juga bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon seperti biasa selain menjayakan projek teater di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

“Saya ada juga ‘shooting’ (drama) Perfect Wife yang ditandatangani sebelum buat pembedahan, arahan Hadith Omar. Masih dalam peringkat pembikinan, mungkin selepas raya kita baru selesailah.

“Saya juga baru lepas buat persembahan teater di UM. Saya bantulah sikit-sikit. Nak bawa watak besar tak mampu dengan keadaan kesihatan, jadi saya bantu apa yang patutlah.

“Ambil watak kecil, bagi semangat untuk budak-budak, anak-anak yang masih belajar. Itulah perkembangan saya,” katanya.

Terdahulu, pada Ogos lalu, Sahronizam mengalami sakit belakang lalu membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ampang dan kesnya dirujuk pula ke Hospital Ampang.

Pada 29 Oktober lalu, dia menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian kanan belakang badannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here