Home Buletin Semasa WISMA PUTRA SAHKAN PELAKON, NADIA KESUMA MENINGGAL DUNIA, PASTIKAN URUSAN BERJALAN LANCAR

WISMA PUTRA SAHKAN PELAKON, NADIA KESUMA MENINGGAL DUNIA, PASTIKAN URUSAN BERJALAN LANCAR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan pelakon wanita, Nadiah Kasumawati atau Nadia Kesuma, 50, yang dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi sejak Selasa lalu, telah meninggal dunia.

Menurut kenyataan kementerian hari ini, pengesahan itu diperoleh hasil usaha Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan Arab Saudi serta semakan rekod berkaitan.

Pihak keluarga Allahyarhamah telah dimaklumkan mengenai berita duka tersebut.

“Kementerian Luar Negeri menzahirkan rasa simpati dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah, di samping menghargai bantuan serta kerjasama yang diberikan oleh pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi sepanjang pengendalian kes berkenaan.

“Bagi memastikan urusan berkaitan berjalan lancar, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedang menyalurkan bantuan konsular sepenuhnya kepada pihak keluarga,”menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian, wakil daripada kedua-dua Perwakilan Diplomatik Malaysia itu turut berada di lapangan bagi memantau perkembangan secara dekat serta memudah cara proses-proses seterusnya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri menegaskan keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.

Bagaimanapun, memandangkan kes ini membabitkan privasi keluarga, kementerian memaklumkan tidak akan mengulas lanjut mengenai butiran peribadi individu terlibat bagi menghormati sensitiviti semua pihak.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here