Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Seorang bapa dilaporkan cuba mengugut untuk membunuh anak perempuannya yang berusia dua tahun dalam kejadian di Jeti Tok Bali, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.25 pagi daripada orang awam.
“Siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 24 tahun telah membawa anaknya ke tepi jeti sambil memegang serpihan botol kaca yang dipercayai diambil di sekitar kawasan jeti berkenaan.
“Pemeriksaan fizikal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk pemeriksaan dan pemantauan kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine.
Jelas beliau, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.
IMedikel TV






