Home Buletin Semasa MARITIM PATAHKAN CUBAAN SELUDUP MASUK 27 PATI

MARITIM PATAHKAN CUBAAN SELUDUP MASUK 27 PATI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup masuk seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara ini selepas menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di perairan Sungai Besar, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya mengesan vesel itu sekitar jam 12.35 tengah malam dalam keadaan mencurigakan ketika menghampiri muara sungai berkenaan.

“Ketika anggota penguatkuasa cuba melakukan pemeriksaan, mereka enggan memberi kerjasama sehingga tekong yang merupakan warganegara Indonesia bertindak terjun ke dalam laut bagi melepaskan diri namun berjaya diberkas.

“Vesel itu didapati tersangkut kira-kira jam 1 pagi pada jarak satu batu nautika barat daya muara Sungai Besar akibat air surut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Indonesia berusia antara 35 hingga 59 tahun.

“Semua PATI yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki manakala tujuh perempuan berusia antara 22 hingga 70 tahun,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan dan tanpa dokumen sah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), serta Akta Perikanan 1985 kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran.

Katanya, maritim komited memperketat kawalan dan meningkatkan operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here