KUALA LUMPUR: Puteri Sarah berkongsi pengalaman peribadi yang disifatkan berbeza daripada pendedahan beberapa artis sebelum ini yang mendakwa berdepan pelbagai realiti pahit sepanjang menjadi anak seni.
Puteri Sarah atau nama penuh, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 41, berkata, perjalanan awal kerjayanya dalam industri hiburan lebih positif apabila dikelilingi individu berpengalaman yang sentiasa membimbing serta menjaga kebajikannya.
Katanya, sokongan dan tunjuk ajar daripada nama besar dalam industri kreatif ketika itu membuatkan dia berasa selamat dan dihargai, selain membentuk persekitaran kerja yang sihat sejak awal pembabitannya.
“Alhamdulillah, setakat ini tidak ada, semua okay. Saya tiada masalah. Awal pembabitan saya dalam industri saya bermula dengan Datuk M Nasir. Jadi, ketika itu, M Nasir dan Datin Marlia Musa yang jaga saya.
“Jadi, saya fikir ketika itu, saya tiada masalah. Mereka jaga saya dengan sungguh-sungguh,” katanya ditemui pada sesi temu bual bersama TV Tuisyen di Balai Berita, Bangsar di sini, Jumaat lalu.
Mengulas mengenai aliran semasa yang memperlihatkan kontroversi seolah-olah menjadi syarat untuk seseorang artis terus mendapat perhatian, Puteri Sarah menegaskan nilai sebenar selebriti tetap terletak pada bakat, bukanlah sensasi.
“Saya bukanlah orang yang terbaik untuk cakap perkara ini, tetapi, kadang-kadang kontroversi itu kita tidak minta.
“Kalau kita hendak buat kontroversi, sekurang-kurangnya buatlah kontroversi yang baik. Contoh kita tengok macam Khairul Aming, itu kontroversi yang baik.
“Hendak kata bergantung pada kontroversi pun tidak juga. Kadang-kadang, apabila kita ada kontroversi, tetapi, kalau tiada bakat, tidak boleh juga,” katanya.
Disoal mengenai azam 2026, Puteri Sarah mahu memulakan lembaran baharu dalam kehidupan dengan memberi fokus kepada perkara yang lebih positif dan membina.
Puteri Sarah berkata, selain terus aktif dalam bidang lakonan dan perniagaan, dia memberi tumpuan kepada pengajian pada peringkat ijazah sarjana sebagai usaha memperkukuhkan masa depan.
“Kalau boleh saya hendak mulakan dengan perkara baharu dan perkara yang elok. Macam sambung belajar, bisnes dan lakonan saya.
“Lupakan yang lama, 2026 kita buka buku baru, yang positif saja. Itulah perancangan saya untuk tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Puteri Sarah menjadi guru selebriti subjek Matematik Tingkatan Dua menerusi TV Tuisyen, revolusi pendidikan digital yang direka khas untuk memperkasakan pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Lima.
Antara selebriti lain yang turut terbabit, termasuk Fendy Bakry, Shha Iskandar, Raja Afiq, Zara Zya, Adam Lee dan Wanie Kayrie.
Mengangkat silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), platform ini menawarkan akses tanpa had kepada 13 subjek utama lengkap dengan nota, latihan, dan kuiz interaktif pada harga mampu milik, bermula dari RM9.90 sebulan. – BH Online –
IMedikel TV






