Home Hiburan UYAINA KEKAL KEJUTAN JANTINA BAYI

UYAINA KEKAL KEJUTAN JANTINA BAYI

191
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, kini menghitung hari menjelang kelahiran anak ketiganya apabila usia kehamilan sudah memasuki fasa akhir, dengan tarikh bersalin dijangka dalam tempoh dua minggu lagi.

Uyaina berkata, keadaan kesihatannya setakat ini berada dalam keadaan baik meskipun berdepan keletihan yang lazim dialami ibu hamil pada trimester ketiga.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tinggal beberapa hari sahaja sebenarnya, cuma menghitung hari. Sekarang kira-kira dua minggu sebelum saya melahirkan anak ketiga.

“Keadaan kesihatan baik, cuma keletihan itu memang terasa dan agak mencabar. Biasalah, sakit sana sini seperti sakit pinggang dan belakang, semua itu pengalaman tipikal ibu mengandung. Mudah-mudahan Allah kurniakan pahala lebih,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Voice of Hind Rajab di GSC Mid Valley Megamall, di sini, Selasa lalu.

Menurut Uyaina, walaupun sarat mengandung dan menghitung hari untuk bersalin, dia masih meneruskan komitmen kerja seperti biasa.

“Selepas ini ada penggambaran dan esok pun ada. Jadi memang kena bergerak juga. Alhamdulillah, kandungan setakat ini dalam keadaan baik dan Allah masih beri kekuatan untuk terus bekerja,” katanya.

Mengulas mengenai perkara yang diidamkan sepanjang kehamilan, pemenang Pengacara TV Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36 itu berkata, kehamilan kali ini memperlihatkan perubahan selera yang ketara.

“Anak pertama dulu saya tak mengidam, tapi suami pula yang mengidam. Anak kedua ada mengidam, tapi masih terkawal.

“Untuk kehamilan ketiga ini, pada awalnya saya hanya nak lauk Melayu atau lauk kampung sahaja. Selain itu memang tak nak,” katanya.

Namun, katanya, keinginan itu berubah apabila dia mula mengidam emas.

“Lama-lama saya rasa tak makan pun tak apa, asalkan dapat emas. Dulu susah nak percaya bila orang kata mengidam emas itu betul, tapi bila alami sendiri, memang betul rupanya,” katanya sambil ketawa.

Uyaina bagaimanapun menegaskan, dia tetap berpada-pada dalam memenuhi keinginan tersebut.

“Kalau beli emas semudah beli ikan di pasar, tak apa. Hakikatnya kita kena ada kesedaran dan kewarasan. Walaupun suami bagi kad kredit, tetap kena berpada-pada,” katanya.

Menurut Uyaina, usaha mendapatkan emas itu turut membawa mereka sehingga ke Kuala Pilah.

Tunggu ke hari kelahiran

Menyentuh mengenai jantina bayi, Uyaina berkata, dia dan suami memilih untuk menunggu sehingga hari kelahiran meskipun maklumat itu sudah tersedia dalam dokumen perubatan.

“Setakat ini saya memang tak tahu jantina bayi. Walaupun tinggal dua minggu sahaja, kami masih belum buka fail yang doktor beri. Kami memang nak kekalkan elemen kejutan.

“Rasa macam sudah tahu, tapi untuk pengesahan itu, lebih baik tak tahu dulu,” katanya.

Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran Raja Azhanrianshah pada 21 Disember 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Raja Urhan, 4, dan Raja Urayyan, 2.

Sementara itu, Uyaina yang juga antara suara utama kempen filem The Voice of Hind Rajab berkata, naskhah berkenaan memberi kesan mendalam kepadanya, bukan sahaja sebagai seorang ibu, malah sebagai seorang manusia.

“Filem ini benar-benar menyentuh hati saya, bukan sahaja sebagai seorang ibu, tetapi sebagai seorang manusia. Kita ketepikan perbezaan agama, bangsa dan negara kerana ini adalah cerita tentang kemanusiaan,” katanya.

Menurut Uyaina, filem itu membuka perspektif baharu terhadap realiti sebenar yang berlaku di Gaza, khususnya berkaitan misi menyelamat dalam situasi peperangan.

“Menerusi filem ini, saya lebih memahami bagaimana sesebuah misi menyelamat dijalankan, termasuk proses mendapatkan kelulusan yang melibatkan pelbagai peringkat sebelum ‘lampu hijau’ diberikan,” katanya.

Dalam masa sama, Uyaina berpendapat, alasan untuk berdiam diri atas faktor komersial atau kekangan sebagai figura awam tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersuara mengenai isu kemanusiaan.

“Isu kemanusiaan seharusnya mengatasi segala kepentingan peribadi atau komersial,” katanya.

Uyaina turut menzahirkan kekaguman terhadap beberapa figura terkenal antarabangsa seperti Angelina Jolie, Brad Pitt, Joaquin Phoenix dan Mark Ruffalo yang konsisten menyuarakan solidariti terhadap Palestin atas dasar kemanusiaan sejagat.

Mengakhiri kenyataan, Uyaina menyeru masyarakat agar memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing.

“Sampai bila kita mahu berdiam diri? Hakikatnya semua manusia akan kembali menyembah bumi. Jadi, lakukanlah sebaik mungkin dan semampu yang termampu,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here