Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 2,813 notis di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai RM519,950 dan sebanyak 79 notis dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan (PPM) 1985 dengan nilai RM46,600.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, tindakan tegas itu diambil hasil pelaksanaan operasi bersepadu premis bersih, operasi rutin dan pemantauan premis oleh Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan sepanjang tahun ini.
“Operasi tersebut diadakan bagi memastikan premis makanan yang beroperasi mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sekali gus dapat mencegah penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, tifoid, kolera dan sebagainya. Semua daerah terlibat dengan operasi tersebut.
“Keseluruhan operasi ini membabitkan pemeriksaan kedai makan, gerai, restoran, kilang dan pasar ramadhan. Sebanyak 6957 premis diperiksa dimana 69.57 peratus (4840 premis) mendapat gred A, 26.06 peratus gred B dan selebihnya 4.37 peratus gred C.
“Bagaimanapun status kebersihan tersebut tidak menggambarkan situasi sebenar premis di negeri Kelantan. Ini kerana jumlah premis diperiksa hanya merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan premis,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah premis diperiksa, 72 premis yang didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan sudah diarahkan untuk ditutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Manakala 39 premis daripada 72 premis tersebut yang ditutup adalah hasil daripada operasi premis bersepadu yang dijalankan setiap daerah.
“Pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan premis makanan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,”tegasnya.
Menurut beliau JKNK sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini.
“Jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan serta makanan yang disediakan di premis makanan adalah selamat untuk dimakan oleh pengguna,
“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis makanan dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa,”katanya.
Jelasnya pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan sudah diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.
“Bagaimanapun, jika pemilik premis masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan berikutnya, arahan penutupan premis akan dibuat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
“Jabatan ini juga ingin menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di seluruh negeri Kelantan supaya memilih premis makanan yang bersih di samping menikmati kelazatan dan keenakan makanan tempatan dan tradisional negeri Kelantan,”katanya.
IMedikel TV






