Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan beberapa kawasan di Pantai Timur dan Selatan Semenanjung bermula 25 hingga 29 Disember.
Menurut kenyataan METMalaysia setakat jam 12.30 tengah hari, amaran berkenaan melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu bermula 25 hingga 28 Disember 2025.
Di Kelantan, kawasan terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Sementara itu, amaran hujan berterusan dari 26 hingga 29 Disember pula dikeluarkan melibatkan negeri Pahang dan Johor.
Kawasan terjejas di Pahang ialah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala di Johor membabitkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai, serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial jabatan berkenaan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.
IMedikel TV






