Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak 1,355 tindakan kes diambil bermula Januari hingga November hasil penguatkuasaan berterusan bagi membanteras penyelewengan dan salah guna barang kawalan bersubsidi di negeri ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, tindakan tersebut diambil hasil 98,842 pemeriksaan yang dijalankan.

“Hasil penguatkuasaan ini, seramai 220 individu telah ditangkap dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM4,682,699.91.
”Sebanyak 37 kes telah dituduh di mahkamah dengan nilai denda RM216,000, manakala kompaun berjumlah RM800,050 turut dikenakan ke atas pesalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di Mydin Tunjong, di sini, hari ini.
Pelancaran itu turut disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Sumber Manusia dan Keusahawanan negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Azman berkata, penguatkuasaan terhadap penyelewengan bahan bakar turut merekodkan rampasan 89,280.61 liter petrol bernilai RM193,544.83, manakala 35,598 liter diesel disita dengan nilai RM93,679.29.

Selain itu, sitaan terhadap barang kawalan bersubsidi turut melibatkan 42,562 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM106,275.40.
“Rampasan lain membabitkan 6,656 kg gula bernilai RM19,127.97, 3,974.20 kg tepung gandum dengan nilai RM12,187.52 serta 2,332 kg Gas Petroleum Cecair (LPG) bernilai RM4,569.00,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan SHMMP berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember.
“Sebanyak sembilan barangan yang dikawal di bawah SHMMP termasuk sayur kubis bulat import, lobak merah, tomato, lada benggaala hijau, cili merah dan barangan kering seperti ubi kentang, bawang merah besar, bawang kuning besar,” katanya.
Beliau berkata, jualan rahmah Madani musim perayaan Krismas turut diadakan di 32 pasar raya di Kelantan secara berkala bermula 16 hingga 25 Disember.

“Selain itu, sebanyak 43 pasar raya serta premis yang menjual barangan persekolahan turut menyertai jualan rahmah Madani sempena Kembali Ke Sekolah bermula 18 Disember hingga 10 Januari tahun depan dengan subsidi sebanyak 30 peratus pada setiap barangan,” katanya.
IMedikel TV






