Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperluas peluang pendidikan bertaraf antarabangsa kepada pelajar negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata inisiatif itu memberi laluan strategik kepada pelajar a untuk melangkah ke bidang teknikal dan kejuruteraan bertaraf antarabangsa.
“Alhamdulillah, saya menerima kunjungan hormat Alumni Graduan Institusi Korea Kebangsaan (AGIKO) yang diketuai oleh Presiden AGIKO, Ir. Zamri Abbas bersama wakil institusi pendidikan dari Korea Selatan, semalam.
“Kunjungan ini membuka ruang kerjasama akademik, khususnya dalam menawarkan peluang pengajian dalam bidang kejuruteraan melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Korea,”katanya menerusi laman Facebook rasminya, semalam.
Beliau berkata kerjasama berkenaan disasarkan kepada pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang mengikuti aliran sains, termasuk pelajar sekolah maahad serta sekolah tahfiz sains YIK, sekali gus membuka laluan strategik kepada golongan itu untuk menceburi bidang teknikal dan kejuruteraan bertaraf antarabangsa.
“Inisiatif ini memberi laluan strategik kepada pelajar aliran sains, maahad dan tahfiz sains untuk melangkah ke bidang teknikal dan kejuruteraan bertaraf antarabangsa, selari dengan keperluan industri serta pembangunan modal insan negeri.
“InsyaAllah, kerjasama ini akan terus diperkukuh bagi memastikan lebih ramai anak Kelantan berpeluang mendapat pendidikan berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat global,”katanya.
IMedikel TV






