Home Luar Negara KES TEMBAK UNIVERSITI BROWN: SUSPEK DIRAKAM DALAM CCTV DI KAWASAN PERUMAHAN

KES TEMBAK UNIVERSITI BROWN: SUSPEK DIRAKAM DALAM CCTV DI KAWASAN PERUMAHAN

NEW YORK: Pakar Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Selasa meneliti kawasan sekitar Universiti Brown, susulan kejadian tembakan rambang hujung minggu lalu yang mengorbankan dua pelajar.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro usaha memburu suspek bersenjata itu kini memasuki hari keempat.

Kejadian berlaku pada Sabtu lalu apabila seorang lelaki bersenjata raifal menceroboh sebuah bangunan kampus yang di dalamnya sedang berlangsung peperiksaan, melepaskan tembakan sebelum melarikan diri.

Ketua Polis bandar itu, Kolonel Oscar Perez, menyiarkan garis masa video baharu pada taklimat Selasa lalu yang menunjukkan individu terbabit bergerak melalui kawasan perumahan di bandar berkenaan.

“Terdapat rakaman video yang dipertingkat dan kami meminta orang ramai meneliti pergerakan badan serta postur badan individu ini yang mungkin membantu dalam pengecaman,” kata Perez.

Perez turut mengulangi rayuan kepada pemilik rumah dan kenderaan yang dilengkapi kamera supaya menyerahkan rakaman kepada polis.

Menurutnya, 200 maklumat berpotensi sudah diterima oleh penyiasat.

FBI yang menawarkan ganjaran AS$50,000 (kira-kira RM204,000) bagi penangkapan suspek menegaskan individu itu harus dianggap “bersenjata dan berbahaya” serta menyifatkannya sebagai seorang lelaki dengan ketinggian kira-kira 5 kaki 8 inci (1.73 meter) dengan badan tegap.

Pihak berkuasa pada mulanya menahan seorang lelaki berkaitan insiden tembakan itu tetapi kemudian membebaskannya setelah mendapati dia tidak mempunyai kaitan dengan kejadian.

Universiti Brown pada Selasa menyeru pelajar yang berada di kawasan kejadian pada Sabtu untuk mengatur temu bual dengan pihak polis walaupun sekadar “butiran sampingan yang mungkin membantu dalam siasatan,” menurut kenyataan universiti.

Dua pelajar yang terkorban ialah Naib Presiden Persatuan Parti Republikan Brown, Ella Cook dan Mukhammad Aziz Umurzokov yang berasal dari Uzbekistan.

“Ella yang datang ke Brown dari Mountain Brook, Alabama adalah seorang ahli komuniti yang bersemangat dan ingin tahu secara intelektual dengan minat mendalam dalam Pengajian Perancis dan Francophone,” kata Presiden Brown, Christina H Paxson.

Mukhammad pula dikenali sebagai seorang yang berdedikasi, berhati-hati dan berdisiplin terutamanya dalam mengejar cita-cita mendalam untuk memberikan impak positif di dunia sebagai pakar bedah saraf.

Serangan itu adalah insiden tembakan rambang terkini di Amerika Syarikat, di tengah-tengah kebuntuan politik mengenai cubaan untuk menyekat akses kepada senjata api.

Menurut Arkib Keganasan Senjata Api, sudah berlaku lebih 300 insiden tembakan rambang tahun ini yang ditakrifkan sebagai kejadian di mana empat atau lebih individu ditembak. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here