PUTRAJAYA: Pengurusan tertinggi IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas bekas pemimpin negara yang disegani, Tun Mahathir Mohamad, di Pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu dilihat sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh hala tuju pembangunan industri farmaseutikal negara.
Presiden IMPHB, Yusmat Mamat, berkata kunjungan tersebut bertujuan mendapatkan nasihat, pandangan serta input kepimpinan daripada beliau yang terkenal dengan pengalaman luas dalam merangka dasar pembangunan negara.
“Delegasi IMPHB turut memperkenalkan peranan syarikat sebagai sebuah entiti Bumiputera Melayu dan beragama Islam yang komited mengangkat martabat industri farmaseutikal tempatan melalui inovasi berasaskan penyelidikan,”katanya.
Beliau berkata pertemuan itu membawa makna besar buat syarikat yang sedang berkembang pesat sebagai pemain industri kesihatan tempatan.
“Kunjungan hormat ini amat bermakna buat IMPHB kerana ia membuka ruang untuk kami menimba nasihat serta pandangan bernas daripada Tun Mahathir sebagai seorang tokoh yang berjasa besar dalam membina asas kemajuan negara.
“Nasihat yang diberikan bukan sahaja mengukuhkan keyakinan kami, malah menjadi pemangkin untuk IMPHB terus memacu inovasi dalam industri farmaseutikal tempatan,”katanya.
Jelasnya kunjungan itu juga menzahirkan penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan Tun Mahathir terhadap kemajuan negara.
“Kami amat berterima kasih atas kesudian beliau menerima kunjungan ini dan memberikan pandangan yang sangat berharga.
“Ini menjadi dorongan kepada IMPHB untuk bergerak lebih jauh dalam bidang farmaseutikal,”katanya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IMPHB, Azman Abd Jalil, Ketua Pegawai Kewangan merangkap Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan IMPHB, Syahrul Azlan Mahmood, Pengurus Divisyen Peranti Perubatan IMPHB, Muhammad Arsyad Rohim dan Ahli Farmasi IMedikel, Muhammad Faiz Syahiran.