Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi menjayakan Kempen Kelantanku Bersih pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menggunakan peruntukan itu dengan sebaiknya melalui perancangan yang teliti dan berimpak tinggi.

“Dekat mana-mana tempat pun ada sampah, tapi menjadi tanggungjawab kita untuk membuangnya di dalam tong sampah untuk pastikan persekitaran bersih.
“Mungkin ada pandangan orang mengatakan negeri ini tidak bersih, contohnya kalau ada orang tangkap gambar sampah, tapi mungkin dia tangkap itu sebelum sampah itu dikutip, jadi kalau kita perlu melihatnya dari sudut positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Dr Mohamed Fadzli berkata, beliau turut melihat tahap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaran semakin meningkat, seiring dengan usaha kerajaan yang juga berterusan.
Beliau berkata, pada majlis berkenaan sebanyak sembilan kategori dipertandingkan termasuk Anugerah Kecemerlangan PBT, Ikon Kebersihan PBT, Taman Rekreasi PBT Terbersih, Tandas Awam PBT Terbersih, Pasar Awam PBT Terbersih, Premis Makanan Terbersih, Taman Perumahan Terbersih, Anugerah Sekolah Bersih & Ceria di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pendidikan Negara (JPN).

“Kita mahu melihat penambahan tong sampah, penaiktarafan kemudahan awam, pengurusan sisa pepejal yang lebih efisien, kawasan rekreasi yang ceria, dan bandar serta pekan yang lebih tersusun.
“Selain itu, Kelantan juga dikenali bukan sahaja kerana sejarah, budaya dan kekuatan daya tahan rakyatnya, tetapi juga kerana kejayaan pengurusan bandar, kebersihan kemudahan awam, dan keindahan kawasan rekreasi,” katanya.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai isu peniaga dari Kelantan yang didakwa masih menggunakan dialek asal ketika berniaga di negeri perantauan sehingga menyukarkan pelanggan untuk memahami pertuturan mereka, beliau berkata keadaan itu berkemungkinan berlaku kerana golongan tersebut memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah berusia.
”Kita juga menghormati dialek setiap negeri kerana masing-masing mempunyai loghat dan cara pertuturan sendiri, namun bagi saya, itu tidak sepatutnya dijadikan isu,” katanya.
IMedikel TV






