TOKYO: Anggota badan bayi yang dipotong antaranya, kepala, tangan dan kaki ditemukan di dalam peti sejuk di sebuah pusat panggilan perkhidmatan seks di Sumida Ward, Tokyo.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, polis memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan itu pada 9 malam daripada pekerja lelaki yang mendakwa menemuinya ketika mahu membersihkan peti sejuk.
Pegawai polis yang tiba di lokasi menemui anggota badan itu di ruang penyejuk beku peti sejuk mini, dengan kes disiasat mengikut kesalahan memotong anggota badan dan pembuangan mayat.
The Japan Times melapor polis berkata, kepala bayi dibalut plastik, manakala tangan dan kaki diletakkan di dalam bekas makanan. Namun, tubuhnya belum ditemukan.
Anggota badan itu dipercayai milik bayi berusia beberapa bulan tetapi jantinanya belum dikenal pasti.
Premis yang menerima panggilan dari luar untuk perkhidmatan seks terletak berhampiran Stesen Kinshicho di kawasan pusat bandar.
Seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja di sebuah restoran berhampiran berkata, dia tiba di tempat kerjanya kira-kira 10 malam hari kejadian dan terkejut apabila mendapati sekitarnya sudah dikepung pihak berkuasa.
Katanya, premis berkenaan biasanya digunakan sebagai bilik menunggu untuk pekerja seks dan dia sering melihat wanita keluar masuk.
Wanita berusia 30-an yang bekerja di pusat panggilan lain pula berkata, kawasan kejiranan sememangnya dikenali ‘kotor’ tetapi tidak menyangka kejadian seperti itu boleh berlaku. – AGENSI. HMetro Online –
IMedikel TV






