Home Buletin Semasa LIMA LELAKI DITAHAN BERHUBUNG KES CURI MOTOSIKAL DI KOTA BHARU

LIMA LELAKI DITAHAN BERHUBUNG KES CURI MOTOSIKAL DI KOTA BHARU

168
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Lima lelaki yang disyaki terlibat dengan kes kecurian motosikal di sekitar Kota Bharu yang dilaporkan sejak Ogos lalu, kini ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Op Lejang yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Balai Polis Kota Bharu dan Balai Polis Binjai.

“Kita menerima laporan pertama pada 6 Ogos lalu daripada seorang lelaki berusia 50-an berkaitan motosikalnya dicuri di hadapan rumah di Kampung Lubuk Pukul Banggu, di sini.

“Manakala bagi laporan kedua pula ialah pada 5 September lalu, seorang lelaki berusia 20-an melaporkan motosikal miliknya dicuri di hadapan rumah di Padang Kiat Sering.

“Bagi laporan ketiga pula, pada 23 November lalu, seorang lelaki berusia 40-an melaporkan motosikalnya dicuri di tempat letak motosikal di PPR Kota Bharu, Jalan Kelachor,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Rosdi berkata, ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, tangkapan lima suspek itu sekaligus menyelesaikan kes tersebut.

“Semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut kerana kemungkinan ada pihak dan rakan yang subahat atau kaitan dengan kes lain.

Jelasnya, semua tangkapan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu dan masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here