KUALA LUMPUR: keputusan masih belum memihak buat ONEXOX TKKR Racing Team dalam kancah Kejuaraan Cub Prix Malaysia selepas dua pusingan kempen 2023, meskipun pasukan mempunyai cara tersendiri untuk mencabar kelas perdana CP150.
Namun, pasukan itu tidak mudah untuk mengalah terlalu awal dengan pelumbanya Md Muzakkir Mohamed menjanjikan satu pertarungan yang sengit di Pusingan 3 kejuaraan di litar Jasin yang serba baharu bermula hari ini.
“Kali ini rasanya sangat berbeza dengan pusingan sebelum ini, bukan kerana ia trek yang baharu tetapi ia menggunakan ‘layout’ yang baharu. Jadi ia berbeza dengan litar Jasin yang kita pernah harungi pada tahun 2019 dulu.
“Tanggapan pertama ialah kita sangat teruja. Apabila sampai ke sini dan melihat trek ini, bukan saya seorang tetapi boleh dikatakan semua orang teruja, kerana ia nampak luas dan lebar. Kita memang tidak akan jumpa trek sementara yang berpagar tetapi luas seperti di Jasin ini. Saya rasa ini trek sementara yang paling luas dalam siri Malaysian Cub Prix ini.
“Ia juga agak panjang dan ada sektor mendaki dan menurun bukit, jadi ini membuatkan saya sangat teruja dan tidak sabar mencubanya pada sesi latihan pertama,” kata Muzakkir yang berusia 31 tahun itu yang pernah memenangi perlumbaan Pusingan 1 kelas CP150 pada 2021.
Walaupun memulakan musim dengan aksi hebat apabila memecahkan rekod pusingan di Litar Antarabangsa Sepang dalam sesi kelayakan di pusingan pertama Februari lalu, Muzakkir begitupun menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dan pada Pusingan 2 di Jempol, dia menemui penamat di tempat keempat.

Keputusan pada dua pusingan itu meletakkan Muzakkir kini berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 21 mata, 14 mata di belakang pendahulu dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin.
“Sasaran kami musim ini masih belum tercapai dan kita masih gagal untuk menduduki podium baik dalam kelas CP150 mahupun CP125. Ini satu perkara yang menambahkan tekanan kepada kami sepasukan.
“Saya tahu semua dalam pasukan sudah melakukan sedaya upaya, jadi untuk pusingan ini kami akan membuat apa yang terdaya untuk mencapai sasaran, selebihnya kita serahkan kepada takdir dan Insya Allah jika rezeki kita untuk berada di situ, sudah tiada alasan untuk kita tidak berada di situ.
“Kemenangan saya pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Sepang baru-baru ini juga sangat memberikan semangat dan momentum untuk mengejar kemenangan pada kali ini,” kata Muzakkir.
Sumber BH Online
Imedikel TV






