Home Buletin Semasa KELUARGA MUDA KALI PERTAMA HADAPI BANJIR BERSAMA BAYI TIGA BULAN

KELUARGA MUDA KALI PERTAMA HADAPI BANJIR BERSAMA BAYI TIGA BULAN

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Bagi pasangan muda di Kampung Sadur, Wakaf Aik, Tawang, Bachok, pengalaman pertama berdepan banjir menjadi lebih mendebarkan apabila mereka terpaksa memindahkan bayi lelaki berusia tiga bulan, Muhammad Adam Rifqi Arif, selepas rumah sewa mereka dinaiki air malam tadi.

Ibu bayi berkenaan, Nurul Alina Nola, 22, berkata, hujan berterusan sejak Jumaat menyebabkan paras air meningkat luar jangka sehingga memasuki ruang rumah dengan cepat hingga separas lutut, memaksa mereka bergerak ke pusat pemindahan sementara (PPS) SK Sering.

“Biasanya air naik sekejap dan surut. Tetapi, kali ini lain… air melimpah masuk terlalu cepat dan kami hanya sempat ambil beberapa helai pakaian bayi.

“Televisyen dan perabot sudah rosak kerana tak sempat selamatkan,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Sering, Ahad lepas.

Nurul Alina berkata, apa yang merisaukan mereka sekarang ialah kekurangan lampin pakai buang serta beberapa keperluan bayi yang lain memandangkan ini adalah pengalaman pertama berpindah ke PPS.

“Kami memang tak jangka nak pindah, jadi barang bayi pun tak lengkap,” katanya yang tinggal bersama suaminya, Mohd Arif Rizuan Rosli, 20.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here