Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kewujudan kartel besar yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah ke Malaysia.
Kenyataan tersebut turut memperkukuh komitmen kerajaan terhadap usaha membanteras sindiket dadah rentas sempadan yang telah sekian lama menjadi fokus utama pdrm dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)secara berterusan menumpukan pemantauan terhadap jaringan pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan laluan laut dan kontena kargo sebagai modus operandi.
“Antara kes yang mendapat perhatian antarabangsa ialah rampasan 336 kilogram (kg) heroin oleh Australian Border Force (ABF) di Australia pada 13 Mac 2023.
“Hasil siasatan bersama mendapati kontena tersebut dipercayal transit melalui Pelabuhan Klang sebelum ke destinasi akhir di Australia,”katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata kejadian itu menjadi asas pengukuhan kepada usaha mempertingkat kawalan dan risikan bersama di peringkat serantau.
“Susulan insiden berkenaan, PDRM melalui JSJN menjalankan siasatan bersama dengan Australian Federal Police (AFP). Hasil beberapa siri perbincangan dan siasatan, kedua-dua agensi bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas bersama (Joint Taskforce) yang disepakati semasa Persidangan Agung Interpol Di Glasgow, Scotland pada 6 November 2024.
“Pasukan ini memberi tumpuan kepada sindiket dadah ransnasional yang beroperasi antara Malaysia dan Australia, khususnya yang menggunakan perkhidmatan kontena kargo sebagai modus operandi,”katanya.
Jelasnya melalui kerjasama itu, beberapa operasi besar dilaksanakan termasuk rampasan 33.2 tan syabu bernilai RM1.062 bilion di Pelabuhan Klang pada 25 Januari 2025, dipercayai dari Asia Tengah sebelum transit di Malaysia menuju ke Australia.
“Selain itu, rampasan 45kg syabu bernilai RM1.44 juta dicatat pada 7 November 2025 selepas dadah disembunyikan dalam ruang khas di bahagian atas kontena kargo,”katanya.
Beliau menegaskan kejayaan operasi itu membuktikan keupayaan PDRM dalam memperkukuh perkongsian risikan antarabangsa bagi menumpaskan sindiket dadah berskala besar.
“PDRM sedang meneliti setiap rangkaian yang dikenal pasti dan memperkukuh tindakan susulan secara berperingkat bersama agensi penguat kuasa tempatan dan luar negara bagi memastikan sindiket ini dipatahkan sepenuhnya.
“Seiring dengan pendirian tegas Perdana Menteri, pdrm menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat,”tegasnya.
Beliau menambah PDRM akan terus memperhebat risikan, operasi dan kerjasama antara agensi diperingkat nasional dan antarabangsa bagi memastikan setiap bentukancaman dadah dapat dikekang secara berterusan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat
IMedikel TV






