KUALA LUMPUR: Biarpun berdepan masalah kesihatan, penyanyi Ali XPDC, 57, tetap hadir bagi membuat penampilan di konsert XPDC Metalkestra 2025 di Zepp KL, di sini, malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail tampak sukar untuk bercakap, namun dia sempat menitipkan kata-kata buat peminat kumpulan metal itu.
“Saya harap peminat-peminat XPDC teruskan menyokong XPDC dan muzik rock tempatan. Beginilah, Alhamdullillah, doakan saya sihat,” katanya ringkas sewaktu ditemui di belakang pentas selepas konsert.
Pada konsert itu, Ali menyanyi secara duduk atas kerusi bergandingan dengan vokalis terkini XPDC iaitu Mamu ketika mempersembahkan lagu medley Hentian Ini dan Titian Perjalanan.
Lebih 2,500 peminat hadir memeriahkan konsert anjuran Republic Mokhmah Records itu yang mana XPDC mempersembahkan 28 lagu keseluruhannya.
Berkongsi pengalaman itu, Mamu menyifatkan ia satu penghormatan besarnya menjadi ‘frontman’ kepada kumpulan ikonik pada konsert berskala agak besar.
“Pertama sekali saya bersyukur kepada Allah, dan juga terima kasih kepada Abang Izo, Arif, Ayie, dan juga Lola yang percaya dan banyak bagi tunjuk ajar pada saya. Dia bagi semangat, semua dengan ajaran-ajaran itu saya bersyukur sangat.
“Ini bukan satu benda yang senang. Nyanyian, lagu-lagu XPDC ini tak mudah. Untuk menjadikan sesuatu konsert berjaya, bukan daripada band saja tapi daripada produksi juga,” katanya.
Kali ini, barisan samurai sejati XPDC iaitu Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu berjaya mengembalikan nostalgia peminat setianya.
Selain Ali, turut membuat penampilan adalah Gad yang menyanyikan beberapa lagu.
Lagu-lagu dipersembahkan termasuk Tangis Darah, Talam Dua Muka, Nyanyuk, Kita Peng Yu, Selendang Merdeka, C.I.N.T.A, Semangat Yang Hilang, For Whom The Bells Tolls, dan banyak lagi. -HMetro Online-
IMedikel TV






