Home Buletin Semasa TERA-KOTA: MENYATU JIWA, TANAH DAN TRADISI

TERA-KOTA: MENYATU JIWA, TANAH DAN TRADISI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Balai Seni Negara melihat perkembangan seni kontemporari bukan lagi seni biasa, namun sudah berubah mengikut peredaran zaman.

Menurut Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, Program After Monsun Project 03: Tera-Kota, bertemakan Tanah-Tubuh-Tapak yang berlangsung di Pantai Pulau Kundur, di sini, bukan sekadar sebuah pameran seni, tetapi satu usaha mengakar kembali hubungan manusia dengan tanah, budaya dan jati diri tempatan.

“Pemilihan lokasi luar bandar seperti Pantai Pulau Kundur menjadi simbol kepada nilai asal dan keindahan kehidupan tradisional masyarakat Kelantan yang masih terpelihara hingga kini.

“Sebahagian besar kampung ini masih mengekalkan tradisi kehidupan masyarakat Kelantan. Ia bukan sekadar rumah lama atau warisan seni bina, tetapi nilai diri dan jati diri yang tidak boleh hilang

“After Monsoon Project: Tera-Kota” bukan sekadar pameran seni, tetapi ia satu usaha menghidupkan semula makna tanah dan tapak sebagai sumber naratif, inspirasi dan jati diri.

Ia menggabungkan nilai tradisi, komuniti dan ekspresi kontemporari dalam satu ruang yang menyatukan manusia dengan alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan, di Pantai Pulau Kundur, di sini, hari ini.

Terdahulu, program itu dirasmikan pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus.

Beliau berkata Program yang berteraskan tema “Tanah-Tubuh-Tapak” itu, bukan sekadar merujuk kepada fizikal atau geografi semata-mata, tetapi turut membawa maksud mendalam tentang hubungan manusia dengan asal usul, tanah air, dan identiti diri.

“Tanah itu asal kita, tubuh itu diri kita, dan tapak itu tempat berpijak. Kalau kita kembali pada asal, itulah jati diri sebenar. Tanah air bukan sekadar tempat tinggal, tetapi ruang kita hidup dan berbakti,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus, menyifatkan inisiatif seperti Tera-Kota sebagai satu pendekatan yang mempertemukan seni dengan akar budaya rakyat.

Sabri, yang dikenali melalui karya berjiwa dan nilai masyarakat, berkata beliau sentiasa tertarik dengan projek yang mengangkat unsur tradisi, budaya serta sejarah tempatan untuk memperkenalkan kepada masyarakat di luar sana.

“Kalau saya lihat Kampung Pantai Pulau Kundur masih lagi mengekalkan tradisional Kelantan.

“Kita bukan melihat rumah sebab rumah akan reput, tetapi diri kita, tidak boleh hilangkan?”katanya.

Program tersebut adalah kesinambungan kepada dua edisi terdahulu yang berlangsung di Tumpat, pada 2023, iaitu After Monsoon 01 dan After Monsoon 02, yang berjaya menarik perhatian peminat seni serta masyarakat setempat.

Tahun ini, edisi ketiga mengetengahkan tema “Tanah, Tubuh, Tapak”, yang menelusuri makna terra (tanah) sebagai sumber kehidupan dan ruang asal, manakala kota melambangkan tubuh sosial hasil pengalaman dan interaksi manusia dengan persekitaran.

Melalui penganjuran itu, ia diharap dapat memperkukuh hubungan antara seni dan masyarakat serta membuka ruang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mengenali keindahan budaya Malaysia dengan lebih dekat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here