Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru institusi keluarga dan sekolah agar bergerak seiring untuk menjadi benteng kasih sayang dan panduan nilai kepada kanak-kanak.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, trajedi yang membabitkan dua remaja baru-baru ini adalah panggilan kepada ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan untuk bertindak bersama.
“Kita tidak boleh memandang tragedi ini sebagai kes terpencil kerana di usia mereka yang sepatutnya dipenuhi kasih sayang, bimbingan dan peluang untuk berkembang, berlaku insiden yang meragut nyawa dan masa depan.
“Kita juga tidak boleh menuding jari kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya apa yang diperlukan adalah kasih sayang, keprihatinan, dan tindakan bersama demi melindungi dan membimbing generasi muda,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Beliau turut menyifatkan tragedi itu sebagai cabaran nilai dan tekanan sosial yang sedang dihadapi kanak-kanak di rumah, sekolah dan dunia digital yang tiada sempadan.
Jelasnya, bagaimanapun KPWKM tidak akan berhenti untuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan daripadanya namun, pihaknya juga tidak boleh menangani cabaran itu sekiranya bergerak sendiri.
“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bukan sahaja memperkukuh dasar dan program, tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri yang menekankan peranan media sosial dan keperluan tindakan tegas kerajaan, namun pada masa yang sama, kita juga harus mengimbangi ketegasan dengan empati memahami bahawa punca kepada isu ini bukan hanya soal disiplin atau teknologi, tetapi juga soal bimbingan, komunikasi dan kasih dalam keluarga serta komuniti sekolah,” ujarnya.
IMedikel TV






