PARIS: Seminggu selepas merangkul gelaran dunia, bintang berbasikal, Tadej Pogacar menjangka cabaran lebih sengit menantinya di Kejohanan Lebuh Raya Eropah di Perancis, esok dengan kehadiran pesaing utama, Jonas Vingegaard dan Remco Evenepoel.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pelumba Slovenia berusia 27 tahun itu mengakui menyukai laluan berbukit di kawasan Drome dan Ardeche yang terkenal dengan ladang lavender dan jurang indah, selain tambah bersemangat apabila beraksi seiring dengan teman wanitanya, Urska Zigart yang turun dalam acara wanita, hari ini.
Pogacar sebelum ini menarik diri daripada temasya Olimpik Paris tahun lalu selepas Slovenia menolak untuk menyenaraikan Zigart walaupun dia ketika itu bergelar juara kebangsaan lebuh raya dan ujian masa.
“Kali ini, saya gembira kerana dapat bersama Urska. Kami kongsi perjalanan, bilik dan masa. Saya sangat hargai saat-saat ini.
“Berada dalam skuad Slovenia juga sesuatu yang istimewa. Ia pasukan yang bagus dan saya menantikan peluang beraksi bersama mereka kerana sejak kebelakangan ini tidak banyak kesempatan begitu,” kata Pogacar.
Pogacar turut mengakui Kejohanan Eropah bukanlah matlamat utama dalam kerjayanya yang padat dengan perlumbaan besar, namun dia menganggap laluan kali ini cukup menarik.
Perlumbaan lelaki akan berlangsung esok membabitkan laluan sejauh 202 kilometer, lebih pendek 65km berbanding perlumbaan dunia di Kigali minggu lalu.
“Ia lebih singkat, lebih eksplosif dengan pendakian curam tetapi tidak terlalu panjang. Lebih ramai pelumba akan bersaing merebut penamat berbanding di kejohanan dunia,” katanya.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






