Home Sukan KOMITMEN SAYA 100 PERATUS UNTUK NEWCASTLE – HOWE

KOMITMEN SAYA 100 PERATUS UNTUK NEWCASTLE – HOWE

LONDON: Eddie Howe sekali lagi menegaskan kesetiaannya bersama Newcastle United selepas namanya kembali dikaitkan dengan Manchester United susulan spekulasi mengenai masa depan Ruben Amorim di Old Trafford.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, jurulatih berusia 46 tahun itu berkata beliau langsung tidak goyah dengan desas-desus itu, sebaliknya mahu fokus sepenuhnya membina kejayaan di St James Park.

“Komitmen saya di sini adalah sepenuhnya. Saya 100 peratus bersama Newcastle, sejak dulu lagi.

“Keluarga saya juga masih berada di sini, kami berjuang setiap hari untuk memastikan apa yang sedang kami usahakan berjaya.

“Musim ini boleh jadi sesuatu yang luar biasa, dan itulah fokus saya, memastikan kejayaan dalam perlawanan-perlawanan yang bakal tiba,” kata Howe.

Pendiriannya itu selari dengan sikap beliau sebelum ini apabila Gareth Southgate meninggalkan jawatan pengurus England dan nama Howe turut disebut-sebut sebagai calon pengganti.

Howe mengambil alih pasukan daripada Steve Bruce pada November 2021, hanya beberapa minggu selepas konsortium Amanda Staveley melengkapkan pengambilalihan kelab itu.

Ketika itu, Newcastle berada di ambang penyingkiran, namun beliau berjaya menstabilkan pasukan sambil merangka asas untuk pembangunan jangka panjang.

Dengan sokongan pelaburan konsortium yang diketuai Arab Saudi, Howe menggabungkan kepakaran taktikal bersama strategi pembelian pemain yang bijak bagi mengangkat semula status Newcastle ke kelompok elit bola sepak England.

Hasilnya, Magpies kembali beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dalam tempoh dua tahun selepas kehadirannya dan kini bersaing buat kali kedua dalam tiga musim.

Lebih manis, pada Mac lalu Newcastle menamatkan penantian 70 tahun untuk meraih trofi domestik apabila muncul juara Piala Liga di bawah kendalian Howe -Agensi, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here