ISTANBUL: Tentera Israel merempuh sebuah kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza, melepaskan tembakan meriam air ke arah konvoi itu dan bertindak kasar terhadap aktivisnya, lapor Anadolu Ajansi.
“Tentera pendudukan Israel menggunakan keganasan terhadap kapal kami, dengan sengaja merempuh satu daripadanya, melepaskan meriam air dan mengasari secara kejam tahanan aman dari 50 negara di seluruh dunia,” kata Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza menerusi hantaran di X.
Memetik laporan Bernama-AA menerusi Harian Metro, penganjur flotila itu menggesa campur tangan antarabangsa dengan segera, memberi amaran bahawa “kerajaan mesti bertindak kerana rakyat di seluruh ibu kota dunia bangkit dengan kemarahan.”
Flotila itu yang sebahagian besarnya membawa muatan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, berlayar pada akhir Ogos lalu dan dijangka tiba di pesisir pantai Gaza pada pagi Khamis sekiranya tiada halangan. -Bernama-AA, HMetro Online-
IMedikel TV






