Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang ditahan selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berkata konvoi berkenaan membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama orang awam tidak bersenjata, sekali gus menzahirkan solidariti masyarakat dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi hari ini.
Menurut Anwar, tindakan Israel menyekat misi tersebut bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang semakin tidak bersama Israel.
Jelasnya, flotila itu bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia yang membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan rakyat Gaza di bawah sekatan zalim serta tidak berperikemanusiaan.
“Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat. Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh serta tidak akan berundur daripada mendesak kezaliman dan perampasan yang berlarutan sekian lama dihentikan.
IMedikel TV






